Azam diminta hadir ke mesyuarat PSC

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah diminta hadir ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 19 Januari depan.

Memetik laporan Malaysia Kini pada Khamis, Ahli PSC, Chan Foong Hin berkata, pihaknya telah diberitahu bahawa satu surat telah dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin yang meminta Azam untuk hadir ke musyuarat itu bagi membincangkan isu pemilikan jutaan saham dalam dua buah syarikat tersenarai baru-baru ini.

Foong Hin ketika ditanya sama ada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang turut dipanggil, beliau berkata, difahamkan hanya Azam yang akan hadir ke mesyuarat itu.

“Setahu saya, hanya Azam yang dipanggil ke mesyuarat PSC.

“Terdapat peruntukan dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk menetapkan perintah kehadiran mana-mana saksi,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, jelas Foong Hin, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi juga telah memanggil Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Di bawah Seksyen 16 akta tersebut, majlis dan mana-mana jawatankuasa yang diberi kuasa sewajarnya dengan perintah majlis untuk memanggil orang-orang, dokumen atau kertas, boleh memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapan majlis atau di hadapan jawatankuasa itu dan mengemukakan apa-apa kertas, buku, rekod atau dokumen dalam milikan atau di bawah kawalan orang itu.

Katanya, PSC yang sebelum ini dipengerusikan oleh ahli Parlimen Kuala Krai (Pas), Abdul Latiff Abdul Rahman tidak membentangkan laporan mesyuarat dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, bagaimanapun mesyuarat kali ini mungkin berbeza.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, PSC mungkin akan merangka laporan susulan pertemuannya dengan Azam.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan, Ahli Jawatankuasa berkenaan, William Leong Jee Keen ketika dihubungi berkata, syor berkaitan isu pemilikan saham itu hanya boleh dibuat selepas inkuiri dilakukan.

“Sebarang cadangan berkaitan pemilikan saham tersebut hanya boleh dilakukan selepas siasatan.

“Laporan jawatankuasa dibentang di Dewan Rakyat kepada semua ahli Parlimen dan rakyat boleh mendapat maklumat daripada laporan berkenaan,” katanya.