PSC perlu dibuka kepada orang awam, media: Edmund Terence

Edmund Terence Gomez
Edmund Terence Gomez
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam dua buah syarikat tersenarai pada Rabu depan perlu dibuka kepada orang awam dan media.

Memetik laporan MalaysiaKini pada Sabtu, ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez berkata, ia penting bagi memastikan tiada sebarang usaha untuk menyembunyikan kebenaran.

“Saya alu-alukan PSC, tapi saya juga ingin berhujah bahawa PSC mesti terbuka kepada media dan orang ramai. Adalah penting media juga mengetahui perbincangan dalam PSC.

"Kita perlu memastikan ahli politik ini bertanya soalan yang betul, ada kajian terbuka dan terperinci mengenai dakwaan ini. Ia hanya boleh dilakukan apabila ada pengawasan awam," katanya.

Pada Khamis, satu surat telah dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin kepada anggota PSC mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang meminta Azam untuk hadir ke mesyuarat bagi membincangkan dakwaan memiliki jutaan saham dalam dua syarikat antara tahun 2015 dan 2016.

Edmund Terence turut menyatakan, kebimbangan sekiranya ada cubaan daripada ahli PSC yang juga merupakan ahli politik untuk mengganggu proses pendengaran.

"Adakah akan ada percubaan untuk menghalang soalan tertentu daripada ditanya? Adakah terdapat cubaan oleh ahli politik tertentu menyembunyikan hal sebenar?

"Untuk memastikan tiada perkara ini berlaku, buka mesyuarat PSC kepada media. Jemput orang ramai untuk datang dan mendengar apa yang berlaku dalam PSC," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Apa yang dicadangkan beliau sebelum ini telah disuarakan pada tahun 2015 apabila gesaan serupa dibuat agar pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disiarkan secara langsung di televisyen.

Walaupun pada awalnya ia dipersetujui oleh PAC, Speaker Dewan Rakyat ketika itu Pandikar Amin Mulia telah menolak cadangan tersebut dengan memberi alasan peraturan Parlimen.

Menurut Pandikar, Peraturan Mesyuarat 85 Parlimen tidak membenarkan mana-mana jawatankuasa di bawah Dewan Rakyat untuk menyiarkan kandungan perbincangannya selagi penyata prosiding masih belum diserahkan kepada Dewan Rakyat.

Peraturan mesyuarat itu tidak berubah dan masih berkuat kuasa sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Edmund Terence menggesa pembaharuan institusi besar-besaran untuk menangani SPRM dan institusi lain yang terbabit dakwaan salah laku termasuk Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah.

“Walaupun kita perlu menangani dakwaan terhadap Azam, mengambil kira perkembangan situasi ketika ini, terdapat perbincangan yang lebih besar berlaku mengenai kemungkinan konflik kepentingan yang melibatkan pemimpin institusi lain.

“Inilah yang saya panggil kegagalan institusi, maksudnya, kini terdapat dakwaan serius melibatkan institusi pengawasan utama iaitu SPRM, SSM dan Bank Negara.

"Jadi, meskipun PSC dialu-alukan dalam menangani masalah yang melibatkan SPRM, kita juga perlu menangani masalah dengan institusi lain yang dibelenggu dengan tuduhan serius.

“Pembaharuan institusi yang besar diperlukan supaya ia boleh bertindak secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” tegas bekas ahli panel perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) SPRM itu.