'Amanah takut hadapi PRN Johor'

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

SHAH ALAM - Ugutan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di Johor menunjukkan parti itu takut menghadapi pilihanraya dan menerima kekalahan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam hantaran di laman Facebooknya pada Ahad berkata, kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka dan Sarawak yang lalu telah menghantui pakatan itu.

Justeru katanya, jika PH menarik sokongan terhadap Perdana Menteri sekali pun, Barisan Nasional (BN) akan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan membentuk kerajaan baharu tanpa perlu sokongan pakatan itu.

"Sama ada perlu atau tidak PRN Johor adalah sesuatu yang terpulang kepada budi bicara Kerajaan Negeri Johor dan Istana Johor.

"Segala ugutan dan ancaman daripada PH bukan faktor penentu untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Salahuddin pada Sabtu yang mengancam untuk menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri jika PRN diadakan di Johor.

Salahuddin mendakwa, situasi hari ini tidak sesuai untuk rakyat melalui PRN, lebih-lebih lagi isu banjir masih belum selesai dan penularan wabak Covid-19 yang berterusan.

Mohamed Khaled berkata, PRN Melaka dan PRN Sarawak dijayakan semasa pandemik dan hasilnya, kestabilan dan pembentukan kerajaan semakin kukuh dan stabil serta tiada penularan wabak yang serius.

Artikel Berkaitan:

Ekoran ancaman tersebut Mohamed Khalid menegaskan, PRN dan PRU wajar dilaksanakan segera kerana tiada kerajaan boleh diugut sedemikian pada setiap masa dan keadaan.

Tegasnya, PRN Johor merupakan tanggungjawab yang perlu dilakukan kerana mandat rakyat perlu dikembalikan apabila kerajaan berada dalam kedudukan yang terlalu rapuh dan tidak stabil.

"Beranggapan bahawa tanggungjawab dan fokus terhadap kebajikan rakyat akan terabai hanya kerana berlakunya PRN juga sangat salah.

"Sekali pun akan diadakan PRN, jentera kerajaan dan segala bantuan tetap beroperasi dan diagih seperti biasa. Tiada yang akan ditutup atau dihentikan.

"Yang menjadi masalah ialah bila Kerajaan lemah dan tidak stabil," katanya.