Tiada keperluan bubar DUN untuk PRN Johor: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal (kiri) meninjau keadaan pascabanjir di tiga kawasan melibatkan Kampung Lenga, Kampung Jawa dan Kampung Sungai Berani di Bukit Kepong, Pagoh, Muar, pada Sabtu.
Ahmad Faizal (kiri) meninjau keadaan pascabanjir di tiga kawasan melibatkan Kampung Lenga, Kampung Jawa dan Kampung Sungai Berani di Bukit Kepong, Pagoh, Muar, pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap berpandangan bahawa tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain itu adalah tidak sesuai untuk mengadakan PRN Johor ketika ini.

"Jika DUN Johor dibubarkan tentu ia satu perkara yang tidak begitu digemari oleh orang ramai. Justeru, saya berpandangan mungkin tiada keperluan untuk perkara itu (PRN).

"Namun jika ia tetap berlaku, kami terpaksa ambil bahagian dalam PRN itu nanti," katanya kepada pemberita selepas Program Sukarelawan Pasca Banjir Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Kampung Sungai Berani, Pagoh di sini, pada Sabtu.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan mengulas keadaan politik di Johor yang kini hangat selepas timbulnya khabar angin pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan, bertiup kencang sejak berakhirnya sidang DUN Khas pada minggu lalu.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi terdiri daripada UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Sementara itu, mengenai kerjasama Bersatu- Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi kemungkinan PRN Johor itu, Ahmad Faizal berkata, perkara berkenaan masih terlalu awal untuk diputuskan.

Katanya, ketika ini tumpuan yang harus diberi keutamaan oleh semua pemimpin politik adalah membantu rakyat berdepan musibah termasuk pasca banjir.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat Persekutuan kami semua bekerja dengan baik dan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri. Mungkin ada segelintir pemimpin yang fikir perlu ada perpecahan supaya menguntungkan mereka," katanya.