PRN Johor hanya persepsi diwujudkan UMNO: AMK

Akmal Nasrullah (kanan) ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada Khamis.
Akmal Nasrullah (kanan) ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang digembar-gemburkan kini hanyalah persepsi yang diwujudkan sendiri oleh UMNO.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini kerana parti berkenaan hanya mahu mengambil kesempatan untuk terus menjadi parti dominan dalam pemerintahan kerajaan.

“PRN ini sebenarnya menjadi satu persoalan yang bagi saya persepsinya diwujudkan sendiri oleh Menteri Besar Johor (Datuk Hasni Mohammad). Dalam keadaan kita berdepan dengan kesiapsiagaan banjir tetapi isu itu dibangkitkan oleh beliau.

“Saya juga tidak nampak pihak lain memulakan perkara ini (PRN Johor), melainkan di pihak menteri besar sendiri (UMNO),” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, khabar angin mulai tersebar luas mendakwa PRN Johor akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bagaimanapun tidak menyatakan sebarang pendirian khusus ketika ditanya sama ada khabar angin berhubung PRN itu benar atau sebaliknya.

Akmal Nasrullah berkata, isu berkaitan kestabilan politik juga tidak seharusnya menjadi wadah untuk mengadakan PRN Johor kerana apa yang dituntut oleh rakyat kini adalah sebuah kerajaan yang menjaga kebajikan mereka.

“Cuma bagi saya ketika ini, memang ada kuasa di peringkat kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi yang mewujudkan suasana tidak stabil ini bukan daripada Pakatan Harapan (PH) tetapi belah sana (UMNO). Kalau boleh tumpukan untuk membantu rakyat sahaja ketika ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai kesediaan AMK untuk bekerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Akmal Nasrullah berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dan menyerahkan semua keputusan kepada parti.