Dos penggalak: Tiada masalah bekalan di Pulau Pinang

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A
GEORGETOWN - Pulau Pinang tidak mengalami masalah bekalan dos penggalak Covid-19 berbanding masalah yang dihadapi bagi dos pertama dan kedua sebelum ini.

Justeru, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meminta semua rakyat Pulau Pinang supaya mendapatkan suntikan dos penggalak.

Menurutnya, buat masa ini, kira-kira 40 peratus rakyat Pulau Pinang yang layak telah mendapat suntikan penggalak mereka.

"Setakat ini, kita tidak mempunyai masalah berhubung bekalan dos penggalak, tidak seperti sebelum ini (untuk dos pertama dan kedua). Oleh itu, kita meminta mereka yang layak supaya mendapatkan dos penggalak masing-masing.

"Kita menjangkakan untuk mencapai dos penggalak 100 peratus menjelang akhir bulan depan atau awal Mac.

Kon Yeow menunjukkan carta pelaksanaan imunisasi Covid-19 di Pulau Pinang.
Kon Yeow menunjukkan carta pelaksanaan imunisasi Covid-19 di Pulau Pinang.



"Kerajaan negeri berharap agar proses pemberian dos penggalak ini selesai secepat mungkin kerana telah terbukti bahawa vaksinasi masih menjadi pelindung terbaik terhadap jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Kon Yeow menyerahkan watikah pelantikan kepada 12 individu yang dilantik sebagai pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang bagi penggal 2022.

Katanya, sehingga kini seramai 500,000 rakyat Pulau Pinang telah mendapat suntikan penggalak mereka setakat ini dengan 18,000 dos vaksin Covid-19 diberikan setiap hari di negeri ini.

Artikel Berkaitan:


Pulau Pinang merekodkan 10 kes Covid-19 membabitkan varian Omicron sehingga 10 Januari lalu membabitkan lima jemaah umrah (Arab Saudi), tiga dari Dubai dan dua dari Kazakhstan.

Bagimanapun, kesemua pesakit yang disahkan positif itu telah dibenarkan keluar dari hospital.

Sementara itu, Kon Yeow menasihatkan orang ramai untuk terus menyemak aplikasi MySejahtera masing-masing untuk mengetahui janji temu suntikan penggalak.