Serangan harimau: Polis Kelantan mohon bantuan PGA

Polis Kelantan meminta bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk membuat kawalan di kawasan penempatan orang asli di Gua Musang.
Polis Kelantan meminta bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk membuat kawalan di kawasan penempatan orang asli di Gua Musang.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan meminta bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk membuat kawalan di kawasan penempatan orang asli di Gua Musang susulan kehadiran harimau yang mengancam keselamatan penduduk ketika ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha bagi memastikan keselamatan orang asli berada dalam keadaan terbaik.

"Berkemungkinan besar pasukan itu (PGA) akan melapor diri esok bagi memulakan penugasan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian pada 7 Januari melaporkan seorang lelaki orang asli, Anek Along, 59, maut dibaham seekor harimau belang dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai.

Anek merupakan mangsa kedua pak belakang di sini selepas pada Julai lalu seorang lelaki orang asli, Adin Andok, 43, hampir maut akibat diserang haiwan liar tersebut dalam kejadian di Kampung Badak, Pos Bihai.

Susulan kejadian harimau belang yang membaham orang asli itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah turun padang menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan orang asli Pos Bihai berikutan terdapat tiga ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan sejak 10 Disember lalu.

Perhilitan Kelantan telah bertindak memasang tiga buah Perangkap Wahab iaitu dua buah di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai.

Mengikut rekod, seekor harimau belang betina telah berjaya ditangkap di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang pada 15 Julai tahun lalu selepas menyerang seorang penduduk kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Harimau Belang yang diberi gelaran 'Syamilla Bihai' tersebut ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk menerima rawatan setelah mengalami beberapa kecederaan serius akibat pergelutan dengan mangsa serangan iaitu Adin Andok.

Justeru orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.