Orang Asli Aring 5 dakwa harimau berkeliaran dekat kampung

Orang Asli Bateq di Kampung Aring 5 masih ketakutan dan dalam fasa berjaga-jaga berikutan ancaman harimau yang didakwa telah mengorbankan seorang penduduk kampung itu baru-baru ini. - Foto Bernama
Orang Asli Bateq di Kampung Aring 5 masih ketakutan dan dalam fasa berjaga-jaga berikutan ancaman harimau yang didakwa telah mengorbankan seorang penduduk kampung itu baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli Bateq di Kampung Aring 5 di sini, mendakwa melihat kelibat harimau berkeliaran berhampiran kampung tersebut pada waktu malam sejak minggu lalu.

Seorang penduduk, Ayob Abdul Razak, 35, mendakwa, dia bersama rakan-rakannya menemukan kesan tapak kaki binatang tersebut di kawasan sungai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung tersebut.

"Beberapa hari lepas, kira-kira 11.30 pagi saya bersama dua rakan hendak pergi mandi di sungai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung dan jumpa kesan tapak kaki harimau.

"Kami yakin itu kesan tapak kaki harimau. Saya ambil gambar dan hantar dalam kumpulan WhatsApp dan minta orang kampung supaya berhati-hati untuk ke sungai atau bila keluar rumah,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Aring 5, Mohd Fazli Mamok turut mendakwa penduduk kampung terjumpa kesan tapak kaki harimau di kawasan ladang kelapa sawit di kampung tersebut.

"Ada penduduk yang ternampak harimau berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit terletak kira-kira 400 hingga 600 meter dari kampung ini," katanya.

Sementara itu, Tok Batin Aring 5, Raina Anjang berharap kehadiran haiwan liar tersebut berhampiran kawasan penempatan mereka mendapat perhatian dan tindakan daripada pihak berkuasa.

"Saya mengalu-alukan tindakan selanjutnya supaya binatang buas ini boleh ditangkap. Sebab bimbang dengan keselamatan orang kampung, saya dah berbincang tidak membenarkan mereka masuk bekerja dalam hutan selagi tidak dapat harimau tersebut.

"Harapan saya supaya harimau ini ditangkap kerana kalau kita biar sepanjang masa jadi begini susah orang kampung mencari makan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, pihaknya sekali lagi memohon perhatian daripada pihak berkaitan supaya tindakan segera diambil berhubung perkara tersebut.

"Kita sudah bawa isu berkaitan ancaman hidupan liar terhadap masyarakat Gua Musang sebelum ini, insya-ALLAH pada Sidang Dewan Rakyat pada 22 Mei nanti kita kemukakan semula isu ini dengan kementerian terbabit," katanya.

Pada 9 Mei lepas, seorang penduduk Kampung Aring 5, Halim Asin, 27, menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, lapan tahun di Sungai Aring. - Bernama