X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Perhilitan tembak mati harimau belang baham orang asli

Perhilitan Kelantan terpaksa menembak mati seekor harimau belang yang telah menyerang dan membaham seorang penduduk orang asli di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang pada Jumaat.-Foto: Ihsan Perhilitan
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menembak mati seekor harimau belang yang telah menyerang dan membaham seorang penduduk orang asli di Kampung Sau, Pos Bihai di sini pada Jumaat.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tembakan itu terpaksa dilepaskan berikutan harimau belang berkenaan telah bertindak meluru ke arah pasukan berkenaan semasa proses tangkapan sedang dijalankan pada jam 12.15 tengah hari.

"Bangkai harimau belang berkenaan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, tindakan menembak haiwan berkenaan bersesuaian dengan Seksyen 52, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] kerana hidupan liar berkenaan berbahaya kepada nyawa manusia.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan orang asli Pos Bihai berikutan terdapat tiga ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan semenjak 10 Disember lalu.

Mohamad Hafid berkata, Perhilitan Kelantan turut memasang tiga perangkap yang dikenali sebagai 'Perangkap Wahab' dua di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai.

"Pihak kami juga akan melaksanakan beberapa kaedah tangkapan seperti menggunakan tembak pelali dan pemasangan perangkap bagi menangkap haiwan berkenaan di perkampungan Pos Bihai.

"Pada masa yang sama, pihak kami juga akan terus melaksanakan pemantauan dan memberi taklimat kepada penduduk kampung dari masa ke masa berkenaan perjalanan operasi serta langkah berjaga-jaga ketika berada di luar kawasan rumah," katanya.

Menurutnya, penduduk yang terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seorang lelaki orang asli maut dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai di sini pada Jumaat.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along berusia 59 tahun.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!