Empat lagi ditahan kemuka penyata akaun palsu

Laporan Sinar Harian 11 Januari 2022.
Laporan Sinar Harian 11 Januari 2022.
A
A
A

ALOR SETAR - Empat lagi individu termasuk pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada syarikat pembersihan.

Menurut sumber, empat individu berusia antara 37 hingga 51 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah, di sini selepas hadir memberi keterangan berhubung dakwaan mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi melayakkan syarikatnya memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Beliau memberitahu, seorang individu berusia 44 tahun yang merupakan pengurus ditahan kira-kira jam 8 malam pada Isnin.

"Seorang wanita berusia 38 tahun yang merupakan pemilik syarikat ditahan pada jam 10.15 pagi Selasa manakala dua lagi individu yang juga pemilik syarikat berusia 37 tahun dan 51 tahun masing-masing ditahan jam 2.30 petang dan 7.30 malam hari yang sama.

"Pengurus berkenaan telah direman selama lima hari mulai 11 Januari dan wanita yang juga pemilik syarikat akan dirakamkan pernyataan dan dilepaskan dengan jaminan SPRM," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sumber memberitahu, permohonan reman terhadap dua lagi pemilik syarikat akan dilakukan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, pihak SPRM kini sedang mengesan individu-individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi dilaporkan mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 15 individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Nor selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.

Siti Norhidayah membenarkan perintah reman terhadap semua suspek berusia 31 hingga 68 tahun antara tiga hingga lima hari bermula Selasa.

Kesemua suspek merupakan antara 21 individu ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, bagaimanapun enam lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.