Baik pulih infrastruktur di Seremban RM7.4 juta

Mohd Nizam (tengah) menunjukkan antara barangan yang disumbangkan kepada mereka yang terjejas banjir di Tampin.
Mohd Nizam (tengah) menunjukkan antara barangan yang disumbangkan kepada mereka yang terjejas banjir di Tampin.
A
A
A

SEREMBAN - Anggaran kos membaik pulih infrastruktur rosak akibat banjir besar yang melanda Seremban baru-baru ini membabitkan nilai sebanyak RM7.4 juta.

Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, jumlah itu dijangka meningkat berikutan pemeriksaan di kawasan terlibat masih diteruskan.

"Jumlah berkenaan membabitkan pembiayaan di bawah Pejabat Daerah dan Tanah Seremban sahaja.

"Terdapat kerosakan di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bebeberapa agensi lain. Bagi PDT sendiri, setakat ini bagi fasa satu, kami menjangkakan anggaran kos baik pulih sebanyak RM7.4 juta," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, kesan banjir pada kali ini luar biasa dan diluar jangkaan kerana ia menyebabkan banyak kerosakan seperti tanah runtuh, hakisan tanah dan sebagainya.

"Bagi kemusnahan kediaman penduduk, kami dapati sebanyak 331 rumah di Jalan Pantai, Lenggeng, Ampangan, Rantau serta Mambau yang perlu dibaiki dan bantuan akan disalurkan mengikut tahap kerosakan.

"Selain itu, bantuan sebanyak RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terkesan banjir seperti diumumkan Menteri Besar sebelum ini, sebanyak 1,317 individu di daerah ini sudah menerimanya," kata beliau.

Mengulas mengenai penambahbaikan persediaan menghadapi banjir di Negeri Sembilan khususnya di Seremban, beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan mengadakan simulasi kesiapsiagaan banjir bersama agensi yang terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, seramai lapan kakitangan bersama ahli Puspanita menghantar bantuan yang disumbangkan warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Seremban ke Dewan Seri Gemencheh untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Antara barangan disumbangkan termasuk alas tidur (toto), selimut, bantal, tuala mandi, telekung, sejadah, air minuman dan beberapa kelengkapan lain.