Tiada kompromi sebarang isu salah laku: Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan jaminan, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang isu salah laku termasuk melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut beliau, tindakan lanjut sedang diambil oleh pihak berkaitan dan beliau percaya, masalah itu akan dapat diselesaikan.

Pada masa sama, beliau menegaskan perlu berlaku adil kepada semua pihak dengan membuat keputusan selepas selesai prosedur siasatan.

“Saya sentiasa mengambil maklum tentang perkara ini dan memantau isu berkaitan SPRM. Tindakan sebenarnya sedang diambil dan gambaran yang diberikan seolah-olah kerajaan berdiam diri, itu tak benar.

“SPRM di bawah Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah (LPPR) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga sudah melakukan siasatan dan akan panggil Tan Sri Azam untuk mendapatkan penjelasan. Kita tunggu keputusan yang akan dibuat oleh mereka.

Ismail (dua dari kanan) menyantuni seorang kanak-kanak dalam lawatan kerjanya ke Sabah pada Sabtu
Ismail (dua dari kanan) menyantuni seorang kanak-kanak dalam lawatan kerjanya ke Sabah pada Sabtu

Artikel Berkaitan:

“Kita tak boleh cepat membuat kesimpulan sebab setiap orang berhak membela diri. Saya yakin dengan sistem yang ada dan saya percaya dengan kepakaran mereka,” katanya kepada media dalam lawatan kerja di Sabah pada Sabtu.

Jelas Ismail Sabri, SPRM sendiri pada asalnya adalah Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dan kemudiannya diletakkan di bawah suruhanjaya supaya tiada campur tangan oleh kerajaan.

“Takkan nak saya campur tangan? Saya harap kita konsisten dengan apa yang kita lakukan. Kalau dulu kita kata dia (SPRM) badan bebas yang tiada campur tangan, jadi biar (pihak berkaitan) yang selesaikan,” ujarnya.

Ditanya mengapa Azam tidak direhatkan sementara siasatan dilakukan, Ismail Sabri menegaskan tidak harus ada pilih kasih dalam isu ini.

“Sewaktu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disiasat, dia tak dicutikan. Apakah tindakan kita? Jangan ‘double standard’, dulu tak (direhatkan) dan sekarang pun tak. Kita kena konsisten,” ujar beliau.

Pada Khamis, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan akan berhubung dengan Azam dan pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kontroversi pemilikan saham membabitkannya.

Langkah itu diambil bertujuan mengesahkan kenyataan yang dibuat pemimpin tertinggi agensi rasuah itu sebelum ini, selain mengumpul bukti-bukti yang berkaitan.