Bimbang tanah makam dijadikan projek pembangunan

Wan Iskandar Zulkarnain (kanan) bersama Mohd Jamil (dua dari kanan) memegang carta salasilah Sultan Kedah ke-25, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II yang dikaji tokoh sejarah Kedah, Allahyarham Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof di Anjung Warisan Pustaka Pak Wan di Alor Setar, pada Jumaat.
Wan Iskandar Zulkarnain (kanan) bersama Mohd Jamil (dua dari kanan) memegang carta salasilah Sultan Kedah ke-25, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II yang dikaji tokoh sejarah Kedah, Allahyarham Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof di Anjung Warisan Pustaka Pak Wan di Alor Setar, pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Anjung Warisan Pustaka Pak Wan melahirkan kebimbangan sekiranya kawasan makam lama berusia ratusan tahun di Kota Bukit Pinang, mukim Bukit Pinang di sini dibangunkan untuk projek pembangunan.

Ahli Jawatankuasanya, Mohd Jamil Ramli berkata, ia susulan terdapat pagar zink projek pembangunan yang dibina di bahagian hadapan jalan utama Bukit Pinang berhampiran dengan kawasan dipercayai tanah perkuburan lama itu.

Beliau berkata, pihaknya merayu kompleks makam menempatkan lebih 100 kubur termasuk dipercayai makam Sultan Kedah ke-25, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II dikekalkan dan tidak dibangunkan untuk sebarang projek pembangunan lain.

"Kita mengulangi gesaan supaya kompleks makam menempatkan kubur termasuk makam dari zaman Sultan Kedah ke-18, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I hinggalah ke zaman Sultan Zainal Rashid II ini diwartakan secepat mungkin bagi mengelakkan warisan sejarah terancam.

"Jadi, kita berharap tidak ada mana-mana individu ataupun institusi yang memindah milik tanah berkenaan kepada mana-mana pihak kerana ia dikhuatiri akan memadam sejarah di kota pemerintahan Bukit Pinang itu," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Pengerusi Anjung Warisan Pustaka Pak Wan, Wan Iskandar Zulkarnain Wan Shamsuddin; Kerabat Diraja Kedah, Tunku Mansor Tunku Kasim dan mantan setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Ahmad Hambali Mohd Saad.

Mohd Jamil berkata, mana-mana pihak tidak boleh menjual tanah perkuburan berkenaan kerana ia merupakan kesalahan serius dan boleh didakwa di bawah beberapa akta, misalnya Akta Kanun Tanah Negara 1960, Akta Muzium Negara, Adat Istiadat dan Warisan.

"Antara lain, tindakan melakukan apa-apa pencerobohan di mana-mana tanah perkuburan orang Islam juga merupakan satu kesalahan syariah," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau meminta tanah perkuburan menempatkan pusara Sultan Kedah ke-25; isteri baginda, Tunku Mariam Tunku Dhiauddin, kerabat dan bangsawan dibaik pulih dan dijaga.

Tambah beliau, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku ke atas tanah perkuburan terbabit.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan makam lama berusia 140 tahun yang dipercayai milik Sultan Kedah ke-25, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II ditemui seberang jalan utama di mukim Bukit Pinang di sini.

Penemuan sisa-sisa bangunan Istana Bukit Pinang dan kota pemerintahan di puncak Bukit Pinang yang hanya berada sekitar 300 meter dari tapak makam itu menguatkan lagi kepercayaan itu seperti disuarakan Allahyarham Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof.

Bagaimanapun, katanya, tokoh sejarawan Kedah itu tidak dapat meneruskan usaha untuk terus membuat kajian lanjut apabila beliau menghembuskan nafas terakhir pada Disember lepas.