Pengemis Rohingya mungkin didalangi sindiket

Dari kiri: Wan Hassan, Razarudin dan Kamarul Zaman pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar pada Khamis.
Dari kiri: Wan Hassan, Razarudin dan Kamarul Zaman pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis akan menyiasat kemungkinan kegiatan meminta sedekah oleh kanak-kanak etnik Rohingya yang tular di media sosial baru-baru ini didalangi sindiket tertentu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu, namun perkara sebenar akan diketahui selepas tangkapan dan siasatan lanjut dilakukan pihak polis.

Beliau berkata, perbuatan mengemis oleh etnik Rohingya didapati berlaku di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan bandar-bandar di negeri lain.

"(Didalangi) sindiket mungkin ada kemungkinan, (tapi) saya tidak boleh sahkan lagi. Mungkin lepas buat tangkapan atau siasatan nanti.

"Kita cuba kumpulkan (maklumat) risikan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular kanak-kanak Rohingya meminta sedekah daripada pemandu kenderaan di tengah kesibukan jalan raya di Kuala Lumpur.

Razarudin berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap peminta sedekah tersebut di bawah Akta Pengangkutan Jalan kerana mengganggu keselamatan pengguna, selain menyebabkan kesesakan jalan raya.

Menurutnya, undang-undang di negara ini bukan tertakluk kepada warganegara Malaysia sahaja tetapi kepada sesiapa yang melakukan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"(Isu etnik Rohingya mengemis di jalan raya) masih tertakluk kepada undang-undang seperti mana Datuk Seri Hamzah Zainuddin sendiri cakap memang kita boleh ambil tindakan," ujarnya.

Razarudin berkata, pihaknya juga akan mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membuat pemantauan lebih kerap di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti terdapat kegiatan mengemis oleh etnik Rohingya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Datuk Kamarul Zaman Mamat menyerahkan tugas beliau sebagai Ketua Polis Kedah kepada Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad.

Wan Hassan, 54, sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, manakala

Kamarul Zaman pula diamanahkan mengetuai Kontinjen Polis Johor.