Bakal berdepan krisis sosial jika benarkan pengeluaran KWSP

No Image Caption
A
A
A

Malaysia mungkin berdepan dengan krisis sosial pada masa hadapan sekiranya kerajaan tunduk dengan desakan berkaitan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kebimbangan itu jelas kerana setakat Oktober 2021 sahaja, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar sejak 2020.

Pengeluaran ini menyebabkan 6.1 juta ahlinya kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun dan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.

Profesor Madya Dr. Baharom
Profesor Madya Dr. Baharom

Penganalisis ekonomi dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, majoriti pencarum mempunyai simpanan yang terlalu kecil, sehingga mendedahkan kepada krisis sosial jika simpanan dikeluarkan.

“Mengikut standard biasa Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kita memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan selepas bersara atau RM24,000 setahun. Jangka hayat rakyat Malaysia pula adalah kira-kira 65 tahun.

“Maknanya, kita ada 10 tahun lagi untuk ditempuhi selepas bersara dan memerlukan sekurang-kurangnya RM240,000. Jika tiada simpanan, terpaksa bergantung kepada anak-anak sedangkan mereka sudah mempunyai keluarga dan tanggungan sendiri,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Daripada segi perundangan katanya, secara jelas menunjukkan duit KWSP hanya boleh dikeluarkan selepas bersara.

KWSP katanya, tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) untuk pengeluaran yang dibenarkan.

“Kita faham kesulitan dan kepayahan tetapi kadang-kadang kita terpaksa melakukan keputusan demi kebaikan mereka. Keputusan ini tepat demi kelestarian dan kebaikan masa depan negara dan rakyat,” jelasnya.

Kelangsungan hidup

Dr Mohd Faisol
Dr Mohd Faisol

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim turut bersetuju dengan keputusan yang dibuat kerajaan.

Katanya, ia mampu menyelamatkan ahli-ahli KWSP agar mempunyai tabungan yang mencukupi untuk hidup yang berkualiti dan sejahtera.

“Sekiranya ramai yang mengeluarkan wang RM10,000 tetapi dibelanjakan untuk memenuhi kehendak, maka ia tidak bertahan lama sebaliknya merugikan ahli KWSP sendiri.

“Namun, jika ia benar-benar dibelanjakan untuk keperluan, maka ia amat wajar tetapi ia masih bersifat jangka pendek sahaja,” katanya.

Menurut Mohd Faisol, ramai kalangan rakyat yang kurang menitik beratkan perancangan kewangan diri dan keluarga yang akhirnya menyebabkan mereka tidak mempunyai simpanan tetap selain KWSP.

Jelasnya, ini akhirnya akan menjerat para pencarum pada masa depan, khususnya dalam tempoh ekonomi dunia dan negara yang berdepan dengan krisis pandemik Covid-19.

“Saya melihat saranan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk memberi pinjaman tanpa dikenakan faedah merupakan satu langkah yang amat baik.

“Mereka yang terdesak dan memerlukan bantuan kewangan seharusnya mengambil peluang ini kerana ia amat jarang ditawarkan oleh institusi kewangan kepada pelanggan mereka.

“Di dalam Islam sendiri, pinjaman yang tidak dikenakan sebarang untung amat digalakkan dengan menggunakan instrumen syariah Qardhul Hassan,” katanya.

Beliau turut menyarankan bantuan pinjaman oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) sebagai peluang l untuk membantu mereka yang terjejas kewangan akibat banjir.

No Image Caption

Untuk rekod, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan khas Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia bagi membantu mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia.

Selain Bantuan Wang Ihsan RM1,000, bantuan lain disediakan seperti sumbangan pembelian barangan keperluan, bantuan baik pulih rumah, rebat pembelian barangan elektrik dan bil elektrik dan diskaun serta rebat baik pulih kenderaan.

REAKSI

Ahmad Syahriel
Ahmad Syahriel

“Siapa yang tak nak keluarkan wang KWSP. Tapi setelah mendengar penjelasan yang diberikan pelbagai pihak, baru saya sedar bahawa simpanan masa depan itu adalah lebih penting.” - Pekerja swasta, Ahmad Syahriel Ahmad Zainudin, 36

 Hasrul Zul Azuwan
Hasrul Zul Azuwan

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada KWSP jika berdepan dengan masalah kewangan kerana implikasinya amat besar untuk simpanan hari tua.”- Perunding kewangan, Hasrul Zul Azuwan Mustafa, 40

Lew I-Ling
Lew I-Ling

“Saya setuju jika kerajaan hentikan pengeluaran khas KWSP kerana ia simpanan untuk masa pencen. Kita kena fikir jangka panjang, lagipun kerajaan ada banyak saluran bantuan untuk rakyat.” - Pekerja swasta, Lew I-Ling, 40

Mohamad Syahrul
Mohamad Syahrul

““Setelah tiga kali pengeluaran, saya rasakan itu sudah memadai untuk pencarum kerana objektif utama kita menyimpan dalam KWSP adalah untuk simpanan masa depan dan hari tua kita nanti.” - Juruteknik, Mohamad Syahrul Md Salleh, 33

Norevrina Ely
Norevrina Ely

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada KWSP kerana ia simpanan untuk masa depan. Banyak lagi alternatif yang boleh diambil termasuk bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan untuk ringankan beban rakyat.” - Pekerja swasta, Norevrina Ely Zulkafli, 36