Pulau Pinang bakal hadapi krisis air jika tidak berjimat

Keadaan terkini paras air di Empangan Air Itam. (Gambar kecil: Zairil)
Keadaan terkini paras air di Empangan Air Itam. (Gambar kecil: Zairil)
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang bakal mengalami krisis bekalan air sekiranya pengguna domestik masih tidak mengamalkan penjimatan berikutan kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan sejak beberapa bulan lalu.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kapasiti efektif dua empangan utama di bahagian pulau iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Menurutnya, sekiranya tanpa hujan di kawasan tadahan, Empangan Air Itam hanya bertahan sehingga 40 hari manakala Empangan Teluk Bahang pula, hanya 146 hari.

"Ada dua faktor yang menyebabkan jumlah air di dua empangan utama ini berkurangan iaitu jumlah taburan hujan di kawasan tadahan dan juga penggunaan air yang tinggi di Pulau Pinang. Walaupun hujan, kebanyakannya ia bukan di kawasan tadahan. Ini semestinya di luar kawalan kita.

"Bagaimanapun, penggunaan yang tinggi dalam kalangan pengguna domestik adalah di bawah kawalan kita. Oleh demikian, saya merayu agar semua pengguna berjimat cermat ketika menggunakan air," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, pada tahun lalu, PBAPP membekalkan 868 juta liter air terawat setiap hari di Pulau Pinang.

"Sekiranya air di Empangan Air Itam kehabisan, ia akan menjejaskan lebih 6,000 akaun melibatkan 30,000 pengguna manakala Empangan Teluk Bahang, ia akan menjejaskan lebih 100,000 akaun melibatkan 500,000 pengguna.

Keadaan terkini paras air di Empangan Teluk Bahang.
Keadaan terkini paras air di Empangan Teluk Bahang.



"Pada tahun lalu, Pulau Pinang mencatatkan penggunaan air bagi setiap pengguna adalah 307 liter perkapita sehari (LCD) iaitu amat tinggi berbanding LCD bagi Malaysia pada tahun 2020 iaitu 244 LCD sahaja.

"Oleh demikian, sekiranya tidak mahu kita berdepan dengan krisis bekalan, pengguna domestik perlu berjimat cermat menggunakan air dalam aktiviti seharian," tambahnya.

Beliau menambah, sehingga 7 Mei, kapasiti efektif Empangan Air Itam menyusut sebanyak 41 peratus manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang menyusut sebanyak 15.6 peratus.

"PBAPP telah menjalankan tindakan kejuruteraan iaitu mengurangkan jumlah pengeluaran dan penyaluran air daripada Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang kepada pengguna.

"Cara paling mudah dan paling berkesan untuk mengurangkan penggunaan air di rumah ialah berhenti menggunakan hos. Jangan gunakan hos untuk menyiram pokok atau taman, membersihkan kereta atau motosikal dan membersihkan halaman," katanya.

Pada Isnin, PBAPP mengesyorkan operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang dalam masa terdekat berikutan rizab air mentah kedua-dua empangan di pulau itu masih di bawah 50 peratus.

Pathmanathan berkata, operasi pembenihan awan gelombang pertama yang dilakukan pada 2 hingga 4 Mei lalu hanya menghasilkan jumlah hujan yang sedikit menyebabkan kapasiti efektif empangan masih rendah.