KPM perlu libatkan semua pihak rangka pelan pemulihan pendidikan

Dr Maszlee. (Gambar dalam) Tangkap layar berita mengenai Program khas bantu murid tercicir.
Dr Maszlee. (Gambar dalam) Tangkap layar berita mengenai Program khas bantu murid tercicir.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melibatkan semua pihak dalam merangka pelan jangka masa panjang pemulihan pendidikan negara bagi menangani isu keciciran pelajaran.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, keterangkuman tersebut perlu melibatkan pendidikan dasar, pendidikan tinggi, pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan prasekolah.

Menurutnya, isu keciciran pelajaran bukan hanya berlaku untuk pelajar pelajar Tahun satu, dua dan tiga sahaja, tetapi merentasi darjah dan tingkatan.

“Saya ingin mengingatkan semula KPM ketika pembukaan sesi Parlimen 2021 beberapa bulan yang lalu bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta agar semua pihak dilibatkan dalam merangka pelan jangka masa panjang pemulihan pendidikan negara.

“Persoalannya, adakah kerajaan bersedia untuk melibatkan semua pihak merentasi politik, kepartian dan kepakaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan murid terutama tahun satu, dua dan tiga yang menyertai kelas belajar membaca di pusat tuisyen menunjukkan trend peningkatan dua kali ganda berbanding tahun-tahun lepas.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, jurang pendidikan semakin melebar antara keluarga yang mampu dan sebaliknya sekali gus menyumbang kepada isu keciciran tersebut.

“Malah, banjir besar yang melanda beberapa buah negeri juga semakin memburukkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

“Ramai pelajar B40 yang baru menerima komputer riba mereka telah kehilangannya akibat banjir, dan alat tersebut adalah pinjaman kepada mereka dan tidak pasti sama ada mempunyai insurans ataupun tidak.

“Selain itu, anak-anak yang keciciran juga telah hilang buku sekolah untuk memulakan kembali sesi pembelajaran.

“Maka, usaha pemulihan semangat mereka perlu segera dilakukan secara bersepadu dengan mengambil kira isu keperluan dan kebajikan secara bersekali,” ujarnya.

Kata beliau, sekiranya KPM berterusan dengan sikap mereka sekarang ini, dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang ia akan memberi kesan kesenjangan pendidikan yang akhirnya akan menjejaskan pekerjaan dan seterusnya pemilikan serta ekonomi.

“Pada waktu itu semuanya sudah terlambat. Yang mampu akan terus berjaya, manakala yang keciciran dalam kalangan yang tidak mampu akan terus ketinggalan dalam alam pekerjaan dan ekonomi.

“Justeru mereka (KPM) perlu merangka pelan menyeluruh untuk menangani masalah ini dengan melibatkan semua pihak bagi merapatkan jurang pendidikan yang semakin melebar,” jelasnya.

Ujar Maszlee, autonomi bagi pihak sekolah juga perlu diberi kerana para guru lebih mengetahui keperluan dan perincian anak-anak murid mereka, keadaan keluarga dan masyarakat setempat.