Nekad lebih serius bergelar 'mek karan'

Noor Haslinda (duduk kiri) sentiasa mendapat sokongan daripada rakan-rakan seperjuangan sehingga berjaya menamatkan kursus.
Noor Haslinda (duduk kiri) sentiasa mendapat sokongan daripada rakan-rakan seperjuangan sehingga berjaya menamatkan kursus.
A
A
A

KOTA BHARU - Pernah berdepan kejadian litar pintas yang menakutkan, Noor Haslinda Che Hashim, 41, bersama empat anaknya bergelap sepanjang malam tanpa suami di sisi.

Ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu, susulan kejadian itu dia terpaksa menunggu sehingga pagi untuk meminta bantuan bagi membaik pulih kerosakan yang dialami kerana suaminya bekerja di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, siapa sangka pengalaman tersebut tanpa disangka telah mengubah takdir hidupnya.

Daripada seorang pembuat kuih sepenuh masa, kini dia meneroka bidang pendawaian elektrik yang lazimnya dimonopoli oleh golongan lelaki.

Menceritakan detik-detik awal pembabitannya, keputusan Noor Haslinda menyertai kursus anjuran Pendawaian Elektrik dan Perpaipan di bawah Program Empower ECER-MEKAR pada 2019 itu dibuat selepas permohonannya untuk mengikuti kursus dalam bidang bakeri gagal.

"Alhamdulillah, saya kini sudah mampu menukar mentol lampu dan membaik pulih serta membuat penyambungan elektrik dengan yakin tanpa rasa takut-takut seperti sebelumnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dia yang digelar 'mek karan' berterima kasih kepada suami, Muhd Azhan Mahmud, 42, yang memberikan sokongan supaya mengikuti kursus dalam bidang tersebut.

Katanya, lebih mengejutkan dia menjadi wanita tunggal sepanjang mengikuti kursus yang dimonopoli oleh golongan Adam itu.

Artikel Berkaitan:

Noor Haslinda (dua dari kiri) nekad untuk lebih serius bergelar 'mek karan' dan menjadikan bidang elektrik sebagai sumber pendapatan utama keluarga.
Noor Haslinda (dua dari kiri) nekad untuk lebih serius bergelar 'mek karan' dan menjadikan bidang elektrik sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

Wanita yang tinggal di Jalan Pondok Lama, Tanah Merah itu memberitahu, pada peringkat awal dia hampir berputus asa, namun rakan-rakan seperjuangan banyak memberi sokongan lalu dia bersemangat untuk meneruskan pembelajaran.

"Sebaik tamat kursus pada bulan ini, saya nekad untuk lebih serius bergelar 'mek karan' dan menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

"Secara tidak langsung, hasil pendapatan yang diperoleh dapat meringankan beban suami, selain membuat kuih-muih untuk jualan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Zulkifli Yaacob berkata, program di bawah tajaan Yayasan Petronas dengan kerjasama pihaknya dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melibatkan seramai 400 peserta.

Katanya, kesemua peserta dari dua jajahan iaitu Pasir Puteh dan Tanah Merah ditawarkan dengan 11 kursus pilihan termasuklah kimpalan dan fabrikasi logam, inovasi produk hiliran serta operasi penjagaan rumah.

"Pihak ECERDC berharap melalui program empower ECER-MEKAR, para peserta dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan khususnya dalam teknik pemasaran terkini dan perkhidmatan.

"Tujuannya, kami mahu mereka menjadi seorang usahawan yang berdaya saing satu hari nanti," katanya.