Harmoni sambut Aidilfitri bersama empat isteri

Abdul Syaheed (tengah) bersama empat isterinya dari kiri, Haryani, Hanisah, Umun Najwan dan Nor Sabariah (kanan sekali).
Abdul Syaheed (tengah) bersama empat isterinya dari kiri, Haryani, Hanisah, Umun Najwan dan Nor Sabariah (kanan sekali).
A
A
A

SHAH ALAM - Menyambut Aidilfitri bersama lebih daripada seorang isteri bukan mudah, tetapi itulah uniknya bagi suami dan isteri yang mengamalkan poligami.

Abdul Syaheed Ismail, 41, yang mempunyai empat isteri mengakui situasi paling mencabar dilalui ialah pada awal perkahwinan, namun keadaan menjadi semakin baik dari tahun ke tahun.

Menurut bapa 13 anak itu, giliran pulang berhari raya ke kampung akan diuruskan isteri-isterinya iaitu secara giliran empat tahun sekali demi memastikan kemeriahan sambutan Syawal.

“Tak mungkin saya dapat pulang ke rumah semua keluarga mentua saya kerana cuti raya cuma seminggu sahaja, tetapi alhamdulillah, soal giliran, isteri-isteri yang akan uruskan.

"Mereka akan balik ke kampung masing-masing, cuma saya perlu patuh tahun ini giliran siapa," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (Harmoni) di Seksyen 7 di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Presiden Harmoni berkata, isteri pertamanya, Hanisah Mohamad Hadzir, 41, dari Sik Kedah, manakala isteri kedua pula, Umun Najwah Hussin, 40, dari Sabak Bernam, Selangor dan yang ketiga, Haryani Ithnen, 46, dari Kota Tinggi, Johor serta keempat, Nor Sabariah Mansor, 35, dari Marang, Terengganu.

“Bila beraya, kami pun berkonvoi empat kereta berjalanlah rumah ahli keluarga, saudara-mara yang lain. Setiap kereta ada walkie-talkie untuk berhubung, macam itulah uniknya raya dengan empat isteri.

"Bagaimanapun, situasi paling mencabar adalah ketika menyambut Hari Raya Aidiladha berikutan cuti umum yang terhad, namun saya perlu pulang di semua rumah keluarga," katanya.

Abdul Syaheed yang juga seorang peguam berkata, dia sudah mengamalkan poligami sejak 2009 dengan mengikut jejak langkah bapanya yang berkahwin dua.

“Saya berkahwin kali pertama ketika masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2003 dan dikurniakan anak pertama pada 2004.

"Sementara isteri kedua hingga keempat adalah ibu tunggal. Saya ada empat orang anak tiri, sembilan anak kandung serta dua yang sudah meninggal," katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid Abdul Sani, 45, yang merupakan suami kepada Norazizah Zakaria, 40, dan Anida Ghazi, 31, berpandangan kehidupan berpoligami tidak salah asalkan mematuhi syariat agama.

Abdul Rashid bersama dua isterinya, Norazizah (kiri) dan Anida.
Abdul Rashid bersama dua isterinya, Norazizah (kiri) dan Anida.

Menurutnya, suami yang ingin berpoligami juga perlu tahu tanggungjawab bakal dihadapi sebagai ketua untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan berlaku antara madu dan keluarga.

"Paling penting dan menjadi rahsia sebenarnya ialah jangan menipu pasangan dan perlu berterus terang jika hendak berpoligami juga bermaksud perlulah mendapat persetujuan isteri (pertama).

"Saya sendiri memaklumkan kepada isteri (pertama) saya dahulu sebelum berkahwin buat kali kedua supaya dapat mengelak perkara yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.