Batu Pahat pula dilanda banjir

Keadaan Sungai Segamat di Bandar Segamat, pada Isnin, sudah berada pada paras 10.31m berbanding aras bahaya 9.14m.
Keadaan Sungai Segamat di Bandar Segamat, pada Isnin, sudah berada pada paras 10.31m berbanding aras bahaya 9.14m.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Batu Pahat menjadi daerah ketujuh di Johor yang dilanda banjir melibatkan 42 mangsa daripada 11 keluarga di Kampung Haji Kamisan.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, semua mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Haji Kamisan sejak pagi Isnin.

Jelasnya, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,062 orang pada jam 12 tengah hari berbanding 3,841 pada jam 8 pagi Isnin.

"Jumlah ini melibatkan 1,064 keluarga yang kini ditempatkan di 64 PPS dengan mangsa banjir paling ramai di Segamat melibatkan 3,284 daripada 853 keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sungai Segamat di Bandar Segamat berada pada paras 10.31 meter (m) berbanding paras bahaya 9.14m manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat pada paras 6.89 meter (m) berbanding aras bahaya 6.00m.

"Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada pada paras 4.45m berbanding paras bahaya 4.00m, Sungai Muar di Simpang Lima Darat juga di Tangkak berada pada paras 4.92m berbanding paras bahaya 4.00m," katanya.

Katanya, Sungai Pogoh di Kampung Olak Sepam, Muar pada paras 238m berbanding paras bahaya 235m sementara Sungai Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat; Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak dan Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru sudah melepasi paras amaran.

Tambah Vidyananthan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Johor akan hujan berterusan dan berbahaya bagi seluruh negeri pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Mohd Ali berkata, Bilik Gerakan Monsun Timur Laut (MTL) diaktifkan bermula 31 Disember lalu bagi menyelaraskan pengurusan banjir dan dianggotai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Mersing.

Beliau yang juga Pengerusi JPBD berkata, polis akan mengetuai hal berkaitan keselamatan dan penyelamat yang akan dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba.