Mengaku sepupu, cuba terjun tingkap elak ditahan penguat kuasa agama

Penguatkuasa JAIJ mengambil maklumat individu yang ditahan dalam Op Ambang Tahun Baharu pada malam Jumaat.
Penguatkuasa JAIJ mengambil maklumat individu yang ditahan dalam Op Ambang Tahun Baharu pada malam Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mengaku sepupu, cuba terjun tingkap, mabuk dan menangis teresak-esak, itu antara kerenah pasangan semasa dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dalam serbuan di seluruh daerah pada malam Jumaat.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi JAIJ, Anoar Sarimin, alasan itu diberikan 30 pasangan termasuk lapan daripadanya warga Indonesia dan Myanmar berusia 20 hingga 40 tahun apabila ditahan.

Beliau berkata, operasi membabitkan 10 daerah itu disertai seramai 72 anggota Bahagian Penguatkuasaan JAIJ dan Unit Penguatkuasaan Pejabat Kadi Daerah menerusi Ops Ambang Tahun Baharu.

"Operasi ini diadakan bagi memastikan sambutan Tahun Baharu tidak dicemari kegiatan maksiat mahupun tidak bermoral dengan menyasarkan lokasi seperti rumah tumpangan dan hotel bajet.

"Semua pasangan itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27(1) A&B Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997," katanya.

Anoar berkata, seorang lelaki yang ditahan di hotel bajet di Taman Jaya di sini mengaku bahawa dia dan pasangannya adalah sepupu.

Beliau berkata, pasangan yang bekerja kilang berusia 20 dan 25 tahun itu pada mulanya enggan membuka pintu bilik, namun mengalah tidak lama selepas itu.

Katanya, menerusi operasi yang sama, lima individu tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 25 tahun diberikan surat saman.

Artikel Berkaitan:

"Mereka disyaki melakukan kesalahan meminum minuman memabukkan mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997," katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu sebanyak 1,351 operasi penguatkuasaan dijalankan dan pihaknya telah menahan 709 individu membabitkan pelbagai kes kesalahan jenayah syariah.