Melaka siap siaga hadapi gelombang kedua banjir

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan mangsa banjir dengan menggunakan bot untuk dipindahkan ke kawasan lebih selamat berikutan hujan ketika tinjauan di sekitar Pengkalan pada Sabtu. - Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan mangsa banjir dengan menggunakan bot untuk dipindahkan ke kawasan lebih selamat berikutan hujan ketika tinjauan di sekitar Pengkalan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan Melaka bersiap siaga menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir berikutan amaran hujan lebat berterusan hingga Isnin ini dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, semua agensi terlibat terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memantau perkembangan semasa hujan lebat.

"Bilik gerakan banjir tidak pernah ditutup sebaliknya beroperasi 24 jam setiap hari dan agensi berkaitan perlu memantau situasi semasa paras air di empangan atau baraj.

"Di baraj, sekiranya paras air laut turun, kita mesti lepaskan air dan mana-mana aktiviti bot atau ‘river cruise’ juga perlu dihentikan buat sementara dalam tempoh tiga hari ramalan hujan lebat berterusan yang dikeluarkan MetMalaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di sini pada Sabtu.

Sulaiman berkata, setakat ini, mangsa banjir di Melaka hanya melibatkan daerah Alor Gajah dan situasi berkenaan tidak seburuk banjir yang berlaku di Lubok China baru-baru ini.

Ujar beliau, kerja-kerja membaiki ban pecah di Lubok China telah diarahkan dan perlu disiapkan dalam masa sebulan berbanding tempoh dua bulan yang dijangkakan sebelum ini.

"Kalau JPS perlu kerja 24 jam, kerja 24 jam dan kalau perlu tambah tenaga kerja dan mesin, lakukan supaya kerja pembaikan dapat disingkatkan kerana apa yang berlaku di Telok Berembang dan Pengkalan Pauh disebabkan ban terlibat pecah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sulaiman menjelaskan, kerajaan negeri akan mempertimbang pemberian bantuan kewangan kepada mangsa banjir berulang yang terjejas walaupun mereka telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 baru-baru ini.

Bernama melaporkan MetMalaysia pada Sabtu mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan peringkat jingga (buruk) di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor hingga Isnin ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan yang dikeluarkan jam 1 tengah hari tadi memaklumkan hujan lebat berterusan itu membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang; Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta seluruh Melaka. - Bernama