Mangsa banjir di Johor, Melaka, Negeri Sembilan terus meningkat

Rakaman gambar dari udara berkenaan situasi semasa banjir yang melanda sekitar Pengkalan, Alor Gajah pada Sabtu. - Foto Bernama
Rakaman gambar dari udara berkenaan situasi semasa banjir yang melanda sekitar Pengkalan, Alor Gajah pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Johor, Melaka dan Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, manakala tiga lagi negeri mencatatkan penurunan jumlah mangsa setakat petang Sabtu.

Di Johor, mangsa banjir meningkat kepada 1,080 orang daripada 271 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 658 orang daripada 192 keluarga tengah hari tadi, dengan Tangkak menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dalam kenyataan berkata, semua mangsa kini ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah, iaitu Segamat dan Tangkak.

“Terdapat pertambahan 10 PPS lagi dengan sembilan di Segamat manakala satu lagi di Tangkak. PPS yang baru dibuka di Segamat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tah Kang, Balai Raya Kampung Awat, Balai Raya Taman Bukit Lentang, Balai Raya Kampung Jabi 1, Balai Raya Jalan Pemuda, Balai Raya Tungku Tiga, Balai Raya Kampung Sekijang, Sekolah Agama Mukim Jabi dan Sekolah Agama Gemereh.

“Di Tangkak pula, PPS yang dibuka ialah Sekolah Agama Bandar Tangkak yang menempatkan seramai 17 mangsa,” katanya.

Vidyananthan berkata, tiga sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat dengan paras air direkodkan pada 9.64 meter (m), Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, di paras 20.95m dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur di paras 4.32m, setakat 3.15 petang ini.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 507 orang membabitkan 134 keluarga pada 4 petang ini, berbanding 382 mangsa daripada 100 keluarga pada 12 tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa kini ditempatkan di lapan PPS, iaitu di Balai Raya Gadek, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Surau Kampung Jeram, SMK Lubok China, Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, SK Alor Gajah 1 dan SK Krubong.

Artikel Berkaitan:

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir di 11 PPS meningkat kepada 1,437 individu daripada 353 keluarga setakat 4 petang ini.

Di Terengganu, situasi banjir semakin baik petang ini dengan penurunan jumlah mangsa kepada 165 orang daripada 49 keluarga, berbanding 451 orang daripada 128 keluarga, tengah hari tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, jumlah PPS masih kekal di empat lokasi iaitu tiga di Dungun dan satu di Kemaman.

“Jumlah mangsa di Dungun berkurangan kepada 155 orang daripada 47 keluarga iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor (68 orang, 20 keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun (69 orang, 22 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda (18 orang, lima keluarga).

“Jumlah mangsa di Kemaman iaitu di surau Kampung Ban Ho juga berkurang kepada 10 orang daripada dua keluarga petang ini. Bagaimanapun, penduduk dinasihatkan terus berwaspada dengan perubahan cuaca serta patuh arahan pihak berkuasa untuk berpindah,” katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan, stesen bacaan tiga sungai di tiga daerah masih melepasi paras amaran iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun; Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dan Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir menurun sedikit petang ini kepada 2,026 berbanding 2,161 orang tengah hari tadi.

Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 40 PPS di daerah Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Rompin, Bera, Pekan dan Maran, manakala PPS di Kuantan telah ditutup hari ini.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras air empat sungai telah melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Dong di Kampung Peruas di Raub, Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang (Bera), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Kechau di Kampung Dusun (Lipis).

Selain itu, aras air di beberapa stesen telah melebihi paras amaran antaranya di Jerantut melibatkan Kuala Tahan, Paya Gintong, Sungai Pahang di Sungai Yap, Sungai Tembeling di Kuala Tahan selain Kuala Medang dan Sungai Lipis di Benta, Lipis.

Turut melepasi tahap amaran, Sungai Pahang di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (Kuantan) dan Sungai Lipis di Batu Malim (Raub).

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat 5 petang ini, apabila seramai 331 orang daripada 115 keluarga berbanding 482 orang daripada 154 keluarga, tengah hari Sabtu.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan sebanyak lima PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu empat di Kuala Krai dan satu di Jeli.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, yang mana empat sungai sahaja merekodkan bacaan paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di Sabah, lapan kampung di Kota Marudu disahkan terjejas manakala mangsa banjir kekal 504 mangsa daripada 167 keluarga petang ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu kampung terjejas itu ialah Kampung Asin-Asin; Kampung Beliajung; Kampung Tingkalanon; Kampung Tongkungon; Kampung Taritipan; Kampung Morion; Kampung Tandek; dan Kampung Popok laut.

Menurut sekretariat itu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan 253 mangsa daripada 97 keluarga, manakala PPS Sekolah Kebangsaan Teritipan menempatkan 251 mangsa daripada 70 keluarga.

“Pasukan pemantau masih membuat pemantauan di kampung-kampung yang telah dinaiki air, tinjauan mendapati keadaan paras air mula surut dan masih dalam kawalan,” katanya.

Sementara itu di Selangor, polis memaklumkan setakat 4.30 petang tadi, laluan di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting dan Jalan Genting Peras–Kuala Klawang masih ditutup bagi laluan kenderaan ekoran dinaiki air serta jambatan jalan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir. - Bernama