Pejuang siap sedia hadapi PRN enam negeri

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

KUBANG PASU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berharap dapat menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan nanti dan sudah bersiap sedia untuk tujuan terbabit.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mereka bagaimanapun tidak meletakkan harapan yang tinggi seperti PRN Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

Menurutnya, pengalaman daripada dua pilihan raya berkenaan menjadi iktibar kepada parti untuk dijadikan garis panduan dalam menentukan sasaran.

"Memang kita berniat untuk menyertai PRN dan memang pun sudah bersiap sedia untuk tujuan tersebut. Tapi macam saya kata, bermuhasabah diri, mungkin kita tak letak sasaran yang terlalu besar seperti yang berlaku pada PRU15 dan PRN Johor.

"Kita ambil iktibar dan mungkin target tu kita 'right size' dan saya harap kami akan dapat mandat daripada rakyat," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pejuang Tanah Air di Jitra di sini pada Sabtu.

Menurutnya, Pejuang juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti gabungan bagi mengelak daripada mereka perlu bertanding secara solo dalam pilihan raya.

"Kita rasakan bahawa penyertaan gabungan itu satu pendekatan yang terbaik, lebih-lebih lagi kalau boleh diwujudkan keadaan satu lawan satu dalam pilihan raya," katanya.

Dalam masa yang sama, Mukhriz turut berharap Pejuang masih mempunyai peluang untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

"Kami masih lagi menaruh harapan PN boleh pertimbangkan semula permohonan kami itu kerana bila kita lihat ada pemimpin PN khususnya daripada Pas yang menandatangani Proklamasi Orang Melayu.

"Ia memberi harapan bahawa ada hasrat di kalangan kepimpinan PN untuk tidak memecahkan undi Melayu dan kami pun sebagai parti Melayu juga mempunyai hasrat yang sama," katanya.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN telah membuat keputusan menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dihadiri kepimpinan tertinggi komponen parti PN.