47 Pasti terjejas banjir mahu bangkit semula

Pasti Nurul Hidayah antara yang terjejas di Hulu Selangor. Gambar kecil: Muhammad Fadhil
Pasti Nurul Hidayah antara yang terjejas di Hulu Selangor. Gambar kecil: Muhammad Fadhil
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebanyak 47 Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Hulu Selangor kini dalam tempoh untuk 'bangkit semula' selepas ditenggelami banjir besar yang melanda Selangor.

Bencana banjir dua minggu lalu memusnahkan banyak peralatan termasuk keperluan pembelajaran murid malah seramai 262 guru Pasti turut menjadi mangsa bencana alam berkenaan.

Bendahari Pasti Hulu Selangor, Muhammad Fadhil Zaidi Zainuddin berkata, pihaknya melancarkan 'tabung kilat' bagi membantu 47 Pasti terbabit termasuk guru-guru yang terlibat.

Menurut beliau, bantuan kewangan itu diperlukan bagi melancarkan operasi pembelajaran murid Pasti bagi sesi tahun baharu 2022 yang dijadualkan bermula pada 10 Januari ini.

"Habis rosak semua stok buku, pakaian dan perabot akibat banjir yang melanda, berpuluh ribu diperlukan untuk menampung kos bagi menyediakan semula keperluan di Pasti yang terlibat.

"Begitulah antara keluhan pengurusan Pasti khususnya di kawasan terbabit apabila mereka memikirkan kerosakan yang terpaksa ditanggung akibat bencana banjir besar kali ini.

"Lebih menyedihkan, selain premis, meja, kerusi, buku dan alat tulis, baju seragam murid-murid untuk sesi tahun 2022 juga ditenggelami air," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhammad Fadhil berkata, dua pejabat Pasti iaitu Pejabat Pasti Hulu Langat dan Pejabat Pasti Sepang turut terjejas dan memerlukan sedikit masa sebelum boleh beroperasi semula.

Artikel Berkaitan:

"Kepada mana-mana individu yang ingin membantu sumbangan boleh disalurkan kepada Pasti Hulu Selangor menerusi akaun Bank Islam 1220-7010-0140-81 atau merujuk Facebook Pasti Hulu Selangor," katanya.