Banjir di Terengganu rekod 451 mangsa

Keadaan bangunan yang dinaiki air di Kampung Shukor, Dungun.
Keadaan bangunan yang dinaiki air di Kampung Shukor, Dungun.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu mencatatkan seramai 451 mangsa banjir di dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman sehingga jam 8 pagi pada Sabtu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, jumlah mangsa banjir yang direkodkan pada Sabtu tidak menunjukkan perubahan ketara berbanding Jumaat.

Beliau berkata, seramai 451 mangsa daripada 128 keluarga masih ditempatkan di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Dungun dan Kemaman.

"Setakat ini, tiga buah PPS diaktifkan di Dungun iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Orang Ramai Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda manakala sebuah PPS dibuka di Kemaman iaitu di Surau Kampung Ban Ho.

"Kita jangka jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS adalah statik dan tidak banyak berubah buat masa ini berdasarkan keadaan cuaca mendung dan kadangkala hujan renyai di beberapa tempat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, laporan pada Sabtu menunjukkan hampir semua stesen hujan mencatatkan hujan renyai sekitar 5 milimeter (mm) hingga 20mm pada Sabtu manakala Kampung Kuala Ping di Hulu Terengganu merekodkan hujan sederhana lebat iaitu 73mm/6jam.

"Keadaan ini menyebabkan berlaku trend menurun dan menaik kepada beberapa sungai utama namun setakat ini tiada sungai yang melepasi aras bahaya," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, dua stesen sungai menunjukkan melepasi paras amaran iaitu stesen Pasir Raja di Dungun (37.23m) dan menunjukkan trend menaik sehingga jam 8 pagi Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, stesen di Kuala Jengai di daerah sama menunjukkan trend menurun dan kini berada pada kedudukan melebihi paras amaran iaitu 20.26 m.