Balak Sungai Telemong: Tubuh Jawatankuasa bebas siasat laporan JPNP

Kawasan hutan yang didakwa telah digondolkan di daerah Bentong yang dipercayai berlakunya aktiviti pembalakan. Mohd Shukri menunjukan timbunan sisa balak ketika ke lokasi banjir di Kampung Telemong.
Kawasan hutan yang didakwa telah digondolkan di daerah Bentong yang dipercayai berlakunya aktiviti pembalakan. Mohd Shukri menunjukan timbunan sisa balak ketika ke lokasi banjir di Kampung Telemong.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat secara telus dan menyeluruh laporan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berhubung dakwaan tiada sebarang aktiviti pembalakan di kawasan hutan di daerah Bentong.

Aktivis Masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu perlu bagi memastikan kesahihan laporan berkenaan.

Menurutnya, rakyat juga tidak percaya bahawa tiada sebarang aktiviti pembalakan kerana secara jelas dapat dilihat himpunan sisa kayu balak yang banyak terdampar di dua lokasi iaitu di jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong.

"Kita ada membuat semakan dari udara melalui peta dunia dan mendapati banyak kawasan hutan telah digondol dengan rakus terutamanya di kawasan sekitar Sungai Kerau dan Sungai Telemong.

"Kita percaya kejadian banjir lumpur dan himpunan sisa kayu balak yang terdampar berpunca daripada aktiviti penebangan balak sama ada secara sah atau sebaliknya. Jadi, kita meragui laporan JPNP yang dibuat pada Khamis.

"Atas sebab itu, kita mahu satu jawatankuasa khas ditubuhkan segera oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan kerjasama kerajaan Pahang serta penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melakukan siasatan secara terperinci mengenai tragedi itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, JPNP mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada secara sah atau haram di dalam Hutan Simpan Lentang, Bentong.

Pengarah JPNP Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin bagaimanapun dilaporkan berkata, sebaliknya kejadian itu berpunca daripada kepala air di kedua-dua lokasi terbabit yang bermula di Hutan Simpan Lentang susulan hujan lebat berterusan selama tiga hari bermula 16 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Shukri mendakwa laporan yang dikeluarkan tidak tepat dan seolah-oleh cuba menutup kebenaran.

"Kenapa hendak menafikan perkara ini, sedangkan pembalakan wujud dan kegiatan itu sebenarnya menjadi punca berlakunya banjir lumpur.

"Dalam isu sebegini, perlu ada ketelusan kerana rakyat melihat kebenaran yang didakwa cuba disembunyikan oleh JPNP dan kerajaan Pahang " ujarnya.

Pada Khamis lalu, beberapa pengguna laman sosial Facebook memuat naik video berdurasi 45 saat mengenai timbunan sisa balak di Sungai Telemong selepas kejadian banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu.

Susulan itu, pihak tertentu mendakwa kewujudan timbunan sisa kayu termasuk bersaiz kayu balak itu berpunca daripada kegiatan penerokaan hutan secara haram di kawasan terbabit.

Dalam kejadian 18 Disember lalu, lima mangsa dilaporkan meninggal dunia, sementara seorang masih hilang dan 10 lagi selamat apabila empat kereta dihanyutkan arus deras selepas terperangkap di atas jambatan merentasi Sungai Telemong.