Gesa siasatan menyeluruh isu sisa balak di Bentong

Tular gambar-gambar mengejutkan ribuan kayu balak terapung dan hanyut di Sungai Telemong, Bentong di Pahang.
Tular gambar-gambar mengejutkan ribuan kayu balak terapung dan hanyut di Sungai Telemong, Bentong di Pahang.
A
A
A

BENTONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Yong Syefura Othman menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berikutan isu sisa kayu balak yang terdampar di beberapa lokasi kawasan banjir di daerah Bentong.

Menurutnya, nasib rakyat perlu dibela dan tidak teraniaya berikutan situasi tersebut.

"Saya juga senada dengan kenyataan ahli Parlimen Pakatan Harapan agar diadakan suruhanjaya khas mengenai masalah banjir ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung ciapan 'Tiada aktiviti pembalakan dikesan tapi sisa dan kayu balak bersepah. Lori balak keluar masuk' di Twitter miliknya pada Khamis.

"Ia hanya ciapan secara rawak daripada saya sahaja. Saya menyuarakan kemusykilan saya sama seperti netizen yang lain.

"Kita lihat mereka juga tertanya-tanya, jika tiada aktiviti pembalakan macam mana pula boleh terdapat banyak sisa kayu-kayu balak yang terdampar di kawasan banjir," jelasnya.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah atau haram di Hutan Simpan (HS) Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.