68 kes carilamat, RM3.4 juta harta diselamatkan sepanjang 2021

Ketua Bot Perkasa 29 Maritim Malaysia, Bintara Muda Maritim Mohd Husnan Mohd Yasid (kanan) bersama Laskar 1 Maritim Mohd Asri Mohd Yusoff ketika membuat rondaan di laut bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam Tanjung Balau, baru-baru ini. - Foto Bernama
Ketua Bot Perkasa 29 Maritim Malaysia, Bintara Muda Maritim Mohd Husnan Mohd Yasid (kanan) bersama Laskar 1 Maritim Mohd Asri Mohd Yusoff ketika membuat rondaan di laut bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam Tanjung Balau, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor merekodkan sebanyak 68 kes bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) sepanjang tahun ini melibatkan nilai RM3.4 juta harta benda serta aset milik mangsa berjaya diselamatkan.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, antara kes yang dicatatkan itu melibatkan insiden kapal dan bot, kehilangan nyawa di laut, pemindahan mangsa untuk tujuan perubatan (medevac) serta bantuan aset.

Beliau berkata, daripada 325 mangsa dalam 68 kes itu, seramai 257 mangsa selamat, 42 maut manakala baki 26 mangsa dipercayai masih hilang di laut

“Bagaimanapun, kes terburuk yang dicatatkan pada tahun ini melibatkan kejadian bot membawa 50 pendatang asing yang karam di Tanjung Balau dekat Kota Tinggi pada 15 Disember lepas, sehingga meragut 21 nyawa,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Justeru, beliau memberi amaran keras kepada warga asing yang mahu memasuki negara ini terutama Johor agar menggunakan pintu yang sah dan selamat.

“Jangan mudah terpedaya dengan sebarang khidmat yang ditawarkan oleh ejen atau tekong yang tidak bertanggungjawab kerana mereka lebih mementingkan keuntungan tanpa memikirkan keselamatan dan risiko yang dihadapi kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut, orang ramai terutama nelayan dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan laut terutama ketika ingin melakukan aktiviti perikanan.

Beliau berkata, persediaan perlu dilakukan termasuk mendapatkan maklumat ramalan cuaca terlebih dahulu dan memastikan peralatan keselamatan seperti jaket serta pelampung keselamatan sentiasa dibawa dan berada dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan:

“Komuniti maritim juga digalakkan untuk menghubungi Pejabat Maritim Malaysia yang berhampiran bagi memaklumkan aktiviti dan lokasi yang akan mereka lakukan di perairan sepertimana yang diamalkan oleh komuniti maritim di Jepun dan negara maju,” katanya. - Bernama