Kekal berkhemah di lokasi tinggi bimbang gelombang kedua banjir

Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, Selangor mengambil keputusan untuk tinggal sementara dalam khemah yang didirikan di lokasi tinggi dan berbukit terletak tidak jauh dari kediaman mereka.
Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, Selangor mengambil keputusan untuk tinggal sementara dalam khemah yang didirikan di lokasi tinggi dan berbukit terletak tidak jauh dari kediaman mereka.
A
A
A

DENGKIL - Bimbang kemungkinan gelombang kedua banjir, penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang di sini mengambil keputusan tinggal sementara di dalam khemah yang didirikan di lokasi tinggi, tidak jauh dari kediaman mereka.

Kira-kira 20 keluarga orang asli kampung itu masih menetap di 21 khemah biarpun banjir yang melanda kampung berkenaan pada 18 Disember lepas surut sepenuhnya.

Seorang penduduk, Senja Jampo, 44, berkata, meskipun kawasan itu telah memasuki fasa pasca banjir, penduduk masih trauma dan risau untuk tinggal di rumah masing-masing kerana risiko gelombang kedua banjir.

“Penduduk kampung sedia maklum mengenai kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir. Oleh itu, semua ambil keputusan untuk menetap sementara di khemah ini...ada yang trauma dan terkejut kerana rumah ditenggelami air.

“Khemah-khemah yang didirikan ini dibeli sendiri oleh penduduk serta disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang memberikan bantuan di kampung ini,” katanya di sini pada Khamis.

Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda, beliau berkata, lokasi penempatan sementara itu adalah satu-satunya kawasan yang tidak dinaiki air di kampung tersebut.

“Memang sejak banjir melanda kami tinggal di khemah ini. Banjir kali ini adalah paling teruk sejak 1971 dan semua rumah penduduk di kampung ini ditenggelami air,” katanya.

Samsir Bindut, 36, berkata, rata-rata penduduk telah melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah masing-masing dan buat masa ini, penduduk hanya akan masuk ke rumah untuk mandi namun akan tidur dan makan di khemah.

Artikel Berkaitan:

“Ini memang langkah berjaga-jaga memandangkan lokasi kampung berisiko dinaiki air kerana terletak berhampiran Sungai Langat,” katanya.

Sementara itu, Ramli Ali, 35, berkata, walaupun penduduk tidak tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), mereka sentiasa menerima bantuan daripada NGO dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.

“Ada yang datang beri bekalan makanan dan penduduk bergotong-royong untuk menyediakan makanan kerana kami mempunyai segala peralatan memasak,” katanya. - Bernama