Malu jadi penghuni tetap PPS

Nurul Atikah membersihkan kawasan rumahnya walaupun masih belum dibenarkan pulang ke rumah.
Nurul Atikah membersihkan kawasan rumahnya walaupun masih belum dibenarkan pulang ke rumah.
A
A
A

RANTAU PANJANG - "Malu lah setiap tahun jadi penghuni tetap pusat pemindahan sementara (PPS)," demikian luahan seorang mangsa banjir, Nurul Atikah Ab Rashid, 23, ketika ditemui di Kampung Bendang Perol di sini pada Khamis.

Menurutnya, sepanjang musim tengkujuh bermula November hingga Januari setiap tahun dia dan keluarga bukan sahaja berpindah ke PPS sekurang-kurangnya tiga kali malah turut menjadi individu terawal dipindahkan ke PPS dan paling lewat pulang ke rumah.

"Paling lama kami tinggal di PPS kira-kira seminggu, bagaimanapun kali ini hampir dua minggu.

"Walaupun sudah menjadi rutin, kadang-kadang ada perasaan malu juga. Kami pernah terfikir untuk berpindah ke kawasan yang tidak ditenggelami banjir tetapi rumah yang diduduki sekarang adalah peninggalan ayah.

"Jadi kami terpaksalah teruskan kehidupan sebegini, walaupun kadang kala kami rasa malu kerana sering menjadi perhatian sebagai mangsa banjir," katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, banjir kali ini paling teruk yang pernah dialami mereka apabila kesemua enam rumah di sini ditenggelami banjir sehingga paras 4.0 meter.

Nurul Atikah berkata, rumahnya hanya kelihatan bumbung sahaja sedangkan banjir sebelum ini air hanya pada paras 0.3 meter sahaja di dalam rumah.

Artikel Berkaitan:

Situasi terkini di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang yang masih lagi ditenggelami banjir.
Situasi terkini di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang yang masih lagi ditenggelami banjir.

Katanya, disebabkan itu dia mengalami banyak kerugian apabila kesemua barangan elektrik rosak walaupun sudah diletakkan di tempat yang tinggi sebelum berpindah.

Sementara itu, Yusof Setapa, 45, berkata, banjir kali ini sangat mengejutkannya apabila paras air hampir menenggelamkan rumahnya.

"Inilah banjir terbesar yang pernah saya alami sepanjang tinggal di Kampung Bendang Perol, sehinggakan banyak harta benda musnah," katanya.

Menurutnya, banjir besar ini dipercayai berpunca daripada projek tebatan banjir yang sedang dijalankan sehingga air dari Sungai Lanchang tidak dapat mengalir terus ke Sungai Golok sekali gus menyebabkan paras air naik sehingga 4.0 meter.

Dia berkata, selain itu apa yang lebih meresahkan mereka apabila kampung terbabit juga sering dilanda banjir termenung.

"Di kawasan lain air sudah surut tetapi di sini akan mengambil masa berminggu-minggu untuk surut, walau bagaimanapun kami sudah biasa dengan keadaan ini dan reda dengan apa yang berlaku," ujarnya.

Kampung Bendang Perol merupakan kawasan pertama yang akan dilanda banjir di Rantau Panjang setiap kali musim tengkujuh memandangkan kedudukan kampung tersebut berhampiran dengan Sungai Lanchang yang menempatkan enam keluarga dengan 33 penghuni.

Penduduk di sini akan berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari kampung tersebut.