Enam sungai di Terengganu diramal lepasi paras bahaya

Enam stesen sungai utama di Terengganu menunjukkan trend menaik dan diramalkan melepasi paras bahaya pada petang Khamis sekiranya hujan berterusan. Gambar hiasan
Enam stesen sungai utama di Terengganu menunjukkan trend menaik dan diramalkan melepasi paras bahaya pada petang Khamis sekiranya hujan berterusan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Enam stesen sungai utama di Terengganu menunjukkan trend menaik dan diramalkan melepasi paras bahaya pada petang Khamis sekiranya hujan berterusan.

Berdasarkan infografik Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), dua daripada stesen itu melibatkan daerah Besut diikuti tiga di Setiu dan satu stesen di Hulu Terengganu.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Besut (stesen Sungai Besut) di Jambatan Keruak, Sungai Terengganu (stesen Sungai Telemong) di Kuala Ping, Sungai Terengganu (stesen Sungai Nerus) di Kampung Langkap, Sungai Setiu (stesen Sungai Setiu) di Kampung Besut, Sungai Setiu (stesen Sungai Chalok) di Jambatan Chalok dan Sungai Besut (stesen Sungai Besut) di Kampung La.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, sehingga jam 11.30 pagi Khamis, bacaan paras air di dua sungai iaitu sungai Besut di Kampung Keruak dan Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping telah melepasi paras amaran.

Selain itu, bacaan paras air bagi dua lagi sungai iaitu Sungai Dungun di Pasir Raja dan Sungai Setiu di Kampung Besut kini melepasi paras waspada.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan paras air di stesen Sungai Besut di Kampung La diramalkan melepasi paras bahaya sebanyak 0.16 meter pada jam 4 petang, manakala sungai lain masih diparas normal.

"Semua stesen hujan di semua daerah mencatatkan hujan renyai dan sederhana lebat bermula dari awal pagi tadi.

"Keadaan ini menyebabkan aras air di beberapa sungai utama kembali meningkat dengan trend menaik," jelas kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, pihaknya kini giat memantau lokasi berisiko banjir.

"Kita tidak menolak kemungkinan banjir boleh berlaku jika Terengganu sekiranya hujan lebat masih berterusan.

"Bagaimanapun cuaca di seluruh negeri setakat pagi ini kebanyakannya renyai-renyai bersilih ganti selain mendung dan berangin. Kita akan teruskan pemantauan dari masa ke masa terutama di kawasan berisiko banjir,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor diramal banjir bermula Jumaat dan Sabtu susulan amaran hujan berterusan tahap waspada.