SPR bincang hari mengundi PRK Kuala Terengganu

Mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh penting termasuk hari mengundi PRK Kuala Terengganu akan diadakan pada Selasa depan.
Mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh penting termasuk hari mengundi PRK Kuala Terengganu akan diadakan pada Selasa depan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu akan dibincangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi mesyuarat khas Selasa minggu depan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, selain hari mengundi PRK Kuala Terengganu, mesyuarat khas turut membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, daftar pengundian yang akan digunakan selain bagi melaksanakan PRK tersebut.

"Mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Ghani Salleh," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Firuz Jaffril selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon BN di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong.

Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi sekali gus menewaskan Mohd Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas mahu PRK di Kuala Terengganu, harap serentak dengan PRN

Amanah pelik Pas tak kemuka rayuan keputusan Kuala Terengganu