Mangsa banjir di tiga negeri semakin berkurangan

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan dan Selangor terus mencatatkan pengurangan malam Rabu.

Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 5,987 mangsa masih berada di 44 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan, berbanding 6,351 di 48 PPS petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang pula melaporkan hanya enam lokasi jalan masih ditutup malam ini iaitu Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di Maran, Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut), Jalan Ulu Dong (Raub) dan Jalan Southern Loop (Bentong).

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM juga melaporkan sedikit pengurangan jumlah mangsa kepada 2,281 individu malam ini berbanding 2,285 di 13 PPS petang tadi.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan setakat jam 9 malam ini, dengan 31 orang daripada lima keluarga berbanding 42 orang daripada lapan keluarga petang tadi yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa di sebuah PPS di Jelebu kekal 29 orang daripada sembilan keluarga malam Rabu.

MELAKA turut menunjukkan trend serupa dengan masih kekal dengan 26 mangsa daripada lapan keluarga setakat 8 malam ini yang masih ditempatkan di PPS SK Penghulu Benteng, Jasin. - Bernama

Artikel Berkaitan: