Shahidan jawab isu kolam takungan banjir

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang digesa memeriksa fakta sebelum membuat tuduhan berhubung pemberi milikan beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur yang didakwa sepatutnya dijadikan kolam takungan banjir.

Gesaan dilontarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi menjawab kritikan berkaitan perkara itu.

Menurut beliau, kelulusan bukan dilakukan menteri atau datuk bandar.

“Kebanyakan tanah di Wilayah Persekutuan ini dimiliki oleh JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan), perlu memohon kerajaan Persekutuan jika mahu membina bangunan.

"Kalau kita menuduh menteri dan sebagainya (luluskan), saya kata kita semak fakta dulu," katanya selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Pasir di sini pada Rabu.

Menyentuh gesaan agar siasatan dijalankan dalam isu berkenaan juga, Shahidan meminta pemimpin pembangkang terbabit membuat laporan rasmi.

"Tak apa. Mereka nak buat laporan dan juga membuat beberapa tuduhan di luar Parlimen, bererti mereka akan hadapi sendiri (kesannya) sebab mereka buat di luar Parlimen.

"Ini pandangan mereka, kalau mereka rasa tidak puas hati boleh buat laporan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh ​yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam, berhubung enam kolam takungan banjir yang didakwa diluluskan untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur.

Enam kolam itu didakwa sepatutnya dijadikan kolam takungan banjir yang dimaksudkan itu ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

Hannah dalam kenyataan pada Khamis dilaporkan berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.