Rakyat berang, enam kolam takungan di KL dilulus untuk pembangunan

Kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang diluluskan bagi tujuan pembangunan. - (Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
Kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang diluluskan bagi tujuan pembangunan. - (Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 kembali tular di media sosial susulan pendedahan laporan enam kolam takungan banjir di Bandaraya Kuala Lumpur diluluskan untuk tujuan pembangunan.

Ia sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana tindakan itu bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi tebatan banjir, sekali gus risiko berlakunya bencana banjir lebih kerap di Kuala Lumpur.

Berdasarkan laporan Audit setakat 31 Disember 2020, enam kolam takungan banjir telah diluluskan pemberimilikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.

Kolam takungan banjir terlibat ialah Kolam Batu, Kolam Nanyang, Kolam Delima, Kolam Taman Wahyu, Batu 4 ½ dan Taman Desa.

Kolam Nanyang, Kolam Delima dan Kolam Taman Wahyu dikenali sebagai Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang (KTBSJ) terletak berhampiran Sungai Jinjang meliputi kawasan seluas 38.64 kilometer (KM) persegi dengan kapasiti penyimpanan sehingga 2.5 juta meter padu air.

Laporan itu turut mendedahkan, prestasi zon guna tanah Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 2020 tidak tercapai sepenuhnya, seperti mana ditetapkan dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

Malah, kuasa diperuntukkan di bawah Seksyen 22(1) Akta 267 membolehkan Datuk Bandar meluluskan sebanyak 943 kebenaran perancangan walaupun ia tidak selaras dengan PBRKL 2020.

Laporan itu turut menyebut, perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan berkenaan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan serta berlaku pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur dan kesesakan lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

Lembangan sungai dan kedudukan kolam Taman Wahyu. - (Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
Lembangan sungai dan kedudukan kolam Taman Wahyu. - (Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam kenyataannya memaklumkan, seminggu selepas hujan lebat berpanjangan pada 18 Disember 2021, Kuala Lumpur mengalami banjir teruk melibatkan 12 kawasan.

Beliau berkata, ia menyebabkan lebih 90 lokasi kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah.

Menurutnya, tukar guna tanah bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi banjir Kuala Lumpur.

“Ia juga secara jelas mendedahkan untuk tempoh yang sama dari tahun 2015 hingga 2020, Kuala Lumpur mengalami banjir kilat sebanyak 48 kali. Ini juga merupakan pertambahan bilangan banjir kilat dari lima kali pada tahun 2017 kepada 13 kali dalam tahun 2020 iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda.

“Kemusnahan disebabkan banjir pada minggu lepas sepatutnya menyedarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan segera.

"Saya tidak akan mengizinkan kejadian banjir di Kolam Air dan Kampung Kasipillay yang berlaku di dalam kawasan Parlimen Segambut tidak dilayan dengan sewajarnya,” jelas beliau.

Beliau turut menuntut agar SPRM mengambil tindakan segera berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara itu dengan memberikan tempoh 24 jam untuk melakukan siasatan segera dan memaklumkan hasil siasatan kepada penduduk di Kuala Lumpur.