Warga UPNM bantu bersihkan enam sekolah di Temerloh

Pelajar dan sukarelawan UPNM yang terbabit dalam aktiviti membersihkan SK Abu Bakar, Temerloh pada Selasa.
Pelajar dan sukarelawan UPNM yang terbabit dalam aktiviti membersihkan SK Abu Bakar, Temerloh pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerusi misi bantuan dan sukarelawan universiti berkenaan membantu membersihkan enam buah sekolah di daerah ini yang terbabit dengan banjir.

Sekolah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Abu Bakar, SK Tanjung Lalang, SK Paya Taram, SK Paya Ara, Sekolah Vokasional Puteri Temerloh dan Madrasah Tarbiah Islamiah Mentakab.

Pengarah Pusat Kaunseling, Kerjaya dan Alumni UPNM, Sharizan Samad selaku sekretariat program berkata, seramai 70 pelajar dan 10 sukarelawan terdiri daripada kakitangan UPNM terbabit dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.

"Program ini melibatkan kerja pembersihan di sekolah-sekolah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini. Kita berganding bahu bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh yang menyediakan senarai sekolah terjejas.

"Selain itu, kita juga membersihkan rumah penuntut yang terjejas akibat banjir di daerah ini," katanya kepada pemberita ketika aktiviti pembersihan di SK Abu Bakar di Mentakab dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata, selain kerja pembersihan, UPNM turut menghantar 500 pek makanan meliputi beras serta keperluan asas lain di Pekan menerusi usaha sama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UPNM.

"Kita juga menjalankan program sama di Selangor pada minggu lalu, selain pernah mengadakan aktiviti sebegini di Yan, Kedah," ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Abu Bakar, Norazlin Othman berkata, pihaknya menghargai usaha yang dilakukan warga UPNM.

Artikel Berkaitan:

"Sekolah ini antara yang terjejas dan ia juga pengalaman banjir pertama dan baharu buat warga sekolah. Memang kami memerlukan khidmat tenaga luar untuk membersihkan sekolah," katanya.

Sekolah berkenaan sebelum ini menempatkan seramai 283 mangsa banjir melibatkan 83 buah keluarga.

Mangsa bagaimanapun dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) lain pada Isnin kerana sekolah berkenaan turut dinaiki air.

Selain membantu membersihkan sekolah, nasib pengamal media yang terkesan akibat banjir di negeri ini turut mendapat perhatian UPNM.

Antaranya, wartawan Sinar Harian Pahang, Rosilawati Rosedi selepas rumah didiami bersama keluarganya di Kampung Batu Kapor, Mentakab ditenggelami banjir pada 19 Disember lalu.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah meluangkan masa dan menyampaikan sumbangan kepada wartawan tersebut.

Hasagaya turut memberitahu, UPNM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut menghantar 500 pek makanan ke Rasah, Negeri Sembilan.

Hasagaya (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada ibu wartawan Sinar Harian, Yazi Samat (tiga dari kiri) dalam satu kunjungan ke kediaman tersebut di Kampung Batu Kapor, Mentakab pada Rabu.
Hasagaya (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada ibu wartawan Sinar Harian, Yazi Samat (tiga dari kiri) dalam satu kunjungan ke kediaman tersebut di Kampung Batu Kapor, Mentakab pada Rabu.