Peter Anthony keluar Warisan, tubuh parti baharu

Peter ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan KKIA, Kota Kinabalu hari ini.
Peter ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan KKIA, Kota Kinabalu hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony membuat pengumuman keluar parti dan menubuhkan parti baharu mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada awal Januari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, keputusan itu dibuat bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim bagi membentuk parti yang memberi fokus kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut (KDM) terutamanya di kawasan pedalaman Sabah.

"Kita akan membentuk satu gabungan bersama-sama dengan kepimpinan kerajaan pusat dan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Ini adalah jalan terbaik bagi kita bersama-sama membendung atau menyelesaikan segala masalah yang dihadapi khususnya di Sabah ini," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Selasa.

Diminta mengulas, sama ada pemimpin atau ADUN lain akan turut menyertai parti itu, beliau berkata, ia akan diketahui selepas perasmian nanti.

"Kita akan tahu bila saja saya umumkan nanti selepas pendaftaran, mana tahu ada yang jatuh hati dengan parti baharu ini," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa keputusan untuk menubuhkan parti baharu bukan kerana disebabkan kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.

"Kes masih di peringkat mahkamah dan saya percaya ia akan dapat dibuktikan bahawa saya dan keluarga tidak pernah membuat pemalsuan dokumen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Peter lagi, antara sebab beliau membuat keputusan keluar parti kerana percaya perjuangan Warisan tersasar dari landasan awal.

"Rata-rata pengundi dan orang Sabah ini mahukan parti tempatan yang betul-betul mempertahankan rakyat dan negeri ini," katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakannya itu mendapat 'restu' daripada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Peter berkata, dia sepatutnya tidak ada masalah.

Katanya lagi, beliau bersedia untuk mengosongkan dan bertanding semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap sekiranya diputuskan oleh mahkamah.

"Apa juga tindakan atau keputusan perundangan mahkamah selepas ini yang memutuskan untuk saya mengosongkan kerusi Melalap dan bertanding semula, saya akan bertanding semula atas parti saya sendiri.

"Sekiranya mahkamah menyatakan ada kos yang perlu dibayar kepada Warisan, kita akan akur.

"Itu sudah menjadi peraturan tetapi untuk mengekang saya menubuhkan parti baharu, itu bukan halangan," katanya.