Banjir: Perlu ada penyelesaian, jangan hanya ghairah bina rumah

Rizam
Rizam
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor digesa menyediakan perancangan rapi bagi menghadapi masalah banjir di negeri tersebut khususnya di kawasan yang kerap ditimpa bencana seperti Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri juga perlu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor untuk mengkaji semula lokasi-lokasi yang bakal dijadikan sebagai kawasan perumahan dengan mengambil kira potensi banjir.

Menurutnya, kejadian banjir yang berlaku di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini bukanlah insiden kali pertama kerana kerap juga berlaku sebelum ini memandangkan ia merupakan kawasan yang rendah.

"Difahamkan banjir yang melanda Taman Sri Muda kali ini lambat surut kerana kunci air rosak. Jika benar, hal ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak bersiap sedia bagi menghadapi masalah banjir yang melanda baru-baru ini.

"Sebab itu, kerajaan negeri perlu mempunyai perancangan rapi memandangkan Selangor adalah sebuah negeri maju dan perkara sebegini perlu dibincangkan dengan PBT untuk mengkaji risiko serta potensi banjir di sesebuah tapak perumahan yang bakal dibangunkan sebelum diluluskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Rizam juga menyokong kenyataan cadangan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang menggesa kerajaan negeri dan pusat mengembalikan semula pelaksanaan projek Bandar Terusan bagi mengurangkan impak banjir di Lembah Klang.

Menurutnya, walaupun projek tersebut dibatalkan oleh Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tahun 2008, pihak tersebut sepatutnya perlu ada perancangan tersusun bagi menangani masalah banjir di Selangor.

"Saya tidak faham mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu (tahun 2008) dilihat gemar membatalkan segala perancangan baik yang kita buat dengan alasan-alasan tertentu. Mungkin dia kata projek itu merugikan dan sebagainya, adalah alasan-alasannya untuk membatalkan projek itu.

Artikel Berkaitan:

"Tapi saya hairan mengapa perancangan yang sebegitu baik untuk menangani isu banjir dibatalkan dan akhirnya yang mendapat kesan ialah rakyat, sedangkan mereka yang memberi undi dan kepercayaan kepada kerajaan negeri," katanya.

Sinar Harian pada Khamis, melaporkan Mohamad Khir menggesa kerajaan negeri dan pusat untuk mengembalikan semula pelaksanaan projek Bandar Terusan yang pernah diluluskan sewaktu pentadbiran beliau, sebagai solusi tuntas dalam menangani masalah banjir di negeri itu secara menyeluruh.

Jelas beliau, projek Bandar Terusan yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2007 adalah merupakan satu projek pembinaan satu terusan besar yang menghubungkan dua tasik di daerah Petaling dan Kuala Langat dengan kepanjangannya mencapai 17 kilometer.

"Sekiranya projek Bandar Terusan ini berjaya disiapkan, terusan besar berkenaan mampu menyimpan ratusan juta liter air limpahan sungai yang tidak dapat dialirkan ke laut akibat kejadian air pasang besar dan hujan lebat luar biasa.

"Inisiatif itu mengambil inspirasi reka bentuk pembinaan terusan di Belanda sekali gus meminimumkan sepenuhnya impak banjir di kawasan Lembah Klang dalam jangka masa 100 tahun akan datang," katanya.