Ditangguh kali keempat

Tarek (kiri) berdepan 18 tuntutan undang-undang difailkan pihak yang cuba menggagalkan siasatannya terhadap insiden letupan di pelabuhan Beirut pada tahun lalu. - Foto Agensi
Tarek (kiri) berdepan 18 tuntutan undang-undang difailkan pihak yang cuba menggagalkan siasatannya terhadap insiden letupan di pelabuhan Beirut pada tahun lalu. - Foto Agensi
A
A
A

BEIRUT - Siasatan ke atas insiden letupan misteri di pelabuhan Beirut pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan lagi buat kali keempat pada Khamis susulan tuntutan mahkamah dikemukakan oleh bekas menteri yang dipanggil untuk disoal siasat.

Keputusan penangguhan itu dibuat selepas Hakim Tarek Bitar dilantik bagi mengetuai siasatan tersebut pada Februari lalu dan beliau berusaha untuk meneruskan proses tersebut walaupun berdepan halangan ahli politik.

Sumber mahkamah berkata, Tarek dimaklumkan tentang tindakan undang-undang yang difailkan anggota gerakan Amal, Ghazi Zeaiter dan Ali Hasan Khalil yang memaksanya menghentikan siasatan itu sehingga diputuskan hakim.

Difahamkan, sebanyak 18 tuntutan sama telah dikemukakan terhadap Tarek dan sebahagian besarnya dibuat individu yang dipanggil untuk tampil disoal siasat kerana disyaki terlibat kecuaian jenayah.

Para menteri turut mengancam untuk memboikot sesi kabinet sehingga keputusan dibuat untuk menggantikan beliau.

Sebelum ini, kumpulan hak asasi manusia dan waris keluarga mangsa tragedi itu berulang kali mengecam campur tangan politik secara terang-terangan terhadap proses siasatan tersebut.

Ketika kejadian pada 4 Ogos 2020, letupan dahsyat disebabkan simpanan 2,750 amonium nitrat yang ditempatkan selama beberapa tahun di pelabuhan Beirut dan berpunca daripada kegagalan pihak berkuasa serta ahli politik untuk bertindak segera walaupun sedar akan risiko yang mungkin berlaku. - Agensi

Artikel Berkaitan: