Menara Merdeka 118 milik PNB

Ahmad Zulqarnain Onn
Ahmad Zulqarnain Onn
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sekali lagi menegaskan pembangunan menara Merdeka 118 dimiliki 100 peratus oleh PNB dan bukan dimiliki oleh unit amanah saham.

Ia sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap wang pemegang unit digunakan untuk membiayai projek berkenaan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Menara 118 dimiliki 100 peratus PNB melalui pegangan ekuiti dalam PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd.

“Suntikan ekuiti untuk Merdeka 118 diperoleh daripada dana PNB sendiri dengan pembiayaan pembangunan disokong oleh dua terbitan sukuk iaitu Sukuk Hijau Merdeka ASEAN SRI dan Sukuk Murabahah mulai lima tahun lalu.

“Hasil daripada sukuk ini digunakan untuk membiayai sebahagian daripada ruang pejabat 83 tingkat di Menara Merdeka PNB118 dan selebihnya digunakan untuk aktiviti sokongan,” katanya ketika sidang akhbar sempena pengumuman pengagihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 secara maya di sini pada Khamis.

Menara 118 yang berketinggian 678.9 meter adalah bangunan tertinggi di Malaysia, tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Ia bukan sekadar projek ikonik bertaraf dunia, malah turut melambangkan kebudayaan dan sejarah kemerdekaan Malaysia serta memiliki sentuhan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari.

Pembinaannya dimulakan pada tahun 2014, dengan pembangunan seluas 40 ekar, yang mana 50 peratus keluasan tanah tersebut terdiri daripada Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Artikel Berkaitan:

Ketinggian puncak menara atau ‘spire’ Merdeka 118 adalah berukuran 160 meter dengan berat 1,015 tan, bersamaan dengan berat 852 buah kereta Proton Saga dan ia diperbuat daripada keluli dan panel aluminium, dan tempoh pemasangan mengambil masa tiga bulan.