Syarikat pengurusan bangunan dikompaun gagal kemuka resit

Azman
Azman
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah syarikat pengurusan bangunan kediaman di Petaling Jaya, Selangor dikompaun RM2,000 kerana kegagalan mengemukakan resit pembayaran bagi caj penyelenggaraan bangunan, kata Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam.

Azman dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan tersebut diambil susulan aduan daripada penghuni di bangunan kediaman kendalian syarikat pengurusan terbabit pada 17 Mei lepas.

"Hasil siasatan mendapati pihak pengurusan bangunan berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 140(2) Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) kerana gagal memberikan resit kepada pengguna bagi perkhidmatan penyelenggaraan bangunan dan telah dikenakan kompaun di bawah Seksyen 146 Akta yang sama,” katanya.

Seksyen 140(2) Akta 599 memperuntukkan walau apa jua yang terkandung dalam subseksyen (1), pengguna hendaklah dibekal suatu resit bagi apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan jika diminta oleh pengguna, manakala Seksyen 146 adalah berkaitan pengkompaunan kesalahan.

Katanya, mana-mana individu atau syarikat yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta 599 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala bagi perseorangan tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Azman menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi atas kesalahan terbabit dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk mendakwa di mahkamah atas kegagalan mengemukakan resit pembelian barang atau perkhidmatan sekiranya diminta oleh pengguna. - Bernama