Adam gembira bertemu TMJ, dapat pergi Legoland

Abd Rahman (kiri) menceritakan pengalaman dia bersama anaknya Adam (tengah) dan Irin (kanan) yang dapat bertemu Tunku Ismail di Stadium Sultan Ibrahim.
Abd Rahman (kiri) menceritakan pengalaman dia bersama anaknya Adam (tengah) dan Irin (kanan) yang dapat bertemu Tunku Ismail di Stadium Sultan Ibrahim.
A
A
A

PONTIAN - Kanak-kanak yang menderita penyakit jantung terbalik berkongsi kegembiraannya bertemu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Tunku Ibrahim di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada Isnin.

Mohd Adam Amsyar Abd Rahman, 9, bersama kakaknya Irin Nadiya 11 dan bapa mereka, Abd Rahman Ahmad, 47, dibawa mengunjung Stadium Sultan Ibrahim selepas bersiar di Taman Tema Legoland pada Sabtu.

Mohd Adam Amsyar yang ditemui pada Selasa, tidak menyangka impiannya untuk ke Legoland tercapai malah menerima layanan cukup istimewa daripada Tunku Ismail selama tiga hari berada taman tema itu.

"Saya gembira dapat berjumpa Tunku Ismail. Seronok dapat bermain dan mandi di Legoland," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad di sini pada Selasa.

Sementara itu bapanya, Abd Rahman turut berkongsi nasihat Tunku Ismail supaya terus menjaga Adam sebaiknya.

"Baginda turut menyatakan usaha untuk membaiki rumah kami," katanya.

Abd Rahman yang turut menerima sumbangan Pasaraya Econsave pada Selasa berterima kasih di atas keprihatinan pelbagai pihak dan individu yang tidak putus-putus menyalurkan sumbangan kepada anaknya.

Keluarga Abd Rahman menerima sumbangan barang elektrik, dan keperluan asas daripada Pasaraya Econsave di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian pada Selasa.
Keluarga Abd Rahman menerima sumbangan barang elektrik, dan keperluan asas daripada Pasaraya Econsave di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Syukur ramai yang bertanya khabar dan menghulurkan bantuan kepada Adam. Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalasnya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Econsave Pontian, Fazinda Halinda Kamal Fazuli memberitahu, sumbangan barangan elektrik dan keperluan asas berjumlah RM1,000 dihulurkan kepada Abd Rahman bagi meringankan bebannya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kisah Abd Rahman yang kematian isteri sejak enam bulan lalu cekal menjaga anaknya Mohd Adam yang menghidap penyakit mitral valve atresia atau jantung terbalik yang jarang ditemui.

Mohd Adam Amsyar disahkan menghidap penyakit jantung terbalik pada usia tujuh tahun selepas kerap mengalami sesak nafas, bengkak di bahagian muka dan badan kebiruan.

Anak bongsu daripada dua beradik itu kini bergantung kepada ubat khas dan perlu minum susu formula yang disarankan pakar perubatan berharga RM150 satu tin.

Bagaimanapun kekangan wang ditambah lagi kerja yang tidak menentu menyebabkan Abd Rahman tidak mampu membeli susu formula khas untuk Amsyar.

ARTIKEL BERKAITAN: TMJ tunai hasrat kanak-kanak sakit jantung terbalik ke Legoland

Bapa tunggal cekal jaga anak derita jantung terbalik