Sila log masuk terlebih dahulu.

Bapa tunggal cekal jaga anak derita jantung terbalik

Rahman cekal menjaga Adam yang menghidap jantung terbalik.
Rahman cekal menjaga Adam yang menghidap jantung terbalik.
A
A
A

PONTIAN - Dikurniakan anak menghidap penyakit yang jarang ditemui mitral atresia atau jantung terbalik tidak sesekali melemahkan semangat bapa tunggal, Abd Rahman Ahmad, 47, untuk memastikan buah hatinya itu sentiasa ceria.

Abd Rahman yang kematian isteri sejak enam bulan lalu itu juga tidak pernah mengeluh walaupun hidup dalam kesempitan.

Menurut Abd Rahman, anaknya, Mohd Adam Amsyar 9, disahkan menghidap penyakit jantung terbalik pada usia tujuh tahun selepas kerap mengalami sesak nafas, bengkak di bahagian muka dan badan kebiruan.

Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu kini bergantung kepada ubat khas dan perlu minum susu formula yang disarankan pakar perubatan.

"Kekangan wang ditambah lagi, kerja yang tidak menentu menyebabkan saya tidak mampu membeli susu formula khas berharga RM150 satu tin untuk Adam. Sebanyak empat tin diperlukan untuk sebulan.

"Selepas isteri meninggal dunia akibat penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang, saya hanya dapat mengambil upah memandu lori ayam dari Pontian ke Johor Bahru sekali seminggu.

Abd Rahman menunjukkan jari Adam yang kebiruan akibat menderita penyakit jantung terbalik.
Abd Rahman menunjukkan jari Adam yang kebiruan akibat menderita penyakit jantung terbalik.

"Jika dahulu ada isteri, saya tidak risau meninggalkan Adam dan kakaknya Irin Nadiya 11 tetapi sekarang, saya bimbang keadaan mereka di rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Haji Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abd Rahman, walaupun menerima bantuan asnaf Baitulmal sebanyak RM550 sebulan, dia tidak mahu berpeluk tubuh sebaliknya gigih melakukan pekerjaan sampingan mengambil upah memotong rumput di sekitar kampung.

"Adam kerap mengalami sesak nafas dan kemudian tubuhnya kebiruan. Saya perlu sentiasa berada di sisinya. Setakat ini belum ada sebarang pembedahan yang dicadangkan ke atas Adam untuk mengubati penyakitnya itu," katanya.

Abd Rahman memberitahu, lebih memilukan dia dimaklumkan doktor bahawa jangka hayat anaknya juga tidak panjang dan kerana itu dia sanggup berkorban untuk Adam.

Tambah Abd Rahman, Adam pernah memberitahu impiannya untuk bercuti di taman tema seperti rakan-rakannya yang lain namun terpaksa dilupakan kerana tidak mampu.

Abd Rahman ( belakang) bersama Adam ( tengah) dan Irin ( kiri) sewaktu dikunjungi Siew Kiong ( kanan) dirumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad Pontian.
Abd Rahman ( belakang) bersama Adam ( tengah) dan Irin ( kiri) sewaktu dikunjungi Siew Kiong ( kanan) dirumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad Pontian.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah yang juga Penasihat Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata,bantuan sebanyak RM 5,000 disalurkan yayasan kepada Adam bagi keperluan pembelian susu formula khas bagi tempoh setahun.

Selain itu, yayasan juga menyampaikan bantuan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan beberapa keperluan lain bagi meringankan beban dan menceriakan keluarga berkenaan.