Persiapan Deepavali kelam-kabut angkara PRN Melaka, terubat dengan kunjungan Kak Wan

Wan Aizah meluangkan masa sekitar 30 minit bersama keluarga Navaseellan.
Wan Aizah meluangkan masa sekitar 30 minit bersama keluarga Navaseellan.
A
A
A

TANGGA BATU - Persiapan menyambut Deepavali tahun ini agak kelam-kabut bagi sebuah keluarga di Taman Cheng Jaya di sini apabila perayaan itu berlangsung serentak dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, kesibukan menjalankan tugas sebagai jentera parti tidak menghalang mereka meraikan perayaan itu, malah kunjungan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke kediaman keluarga berkenaan menjadi kenangan cukup istimewa.

Pengurus sebuah syarikat telekomunikasi, S Navaseellan, 51, berkata, persiapan Deepavali kali ini agak terbatas kerana beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Daerah Mengundi (PDM) Cheng Perdana bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin.

Navaseellan
Navaseellan

Menurutnya, sejak dua minggu lalu, beliau hampir setiap hari terlibat dengan tugasan kempen bagi memastikan jentera pilihan raya berjalan lancar.

"Persiapan tahun ini memang agak kelam-kabut kerana Deepavali jatuh dalam minggu pilihan raya. Saya bertugas sebagai Ketua Daerah Mengundi Cheng Perdana dan sejak dua minggu ini memang setiap hari bekerja untuk calon nombor tiga, Datuk Azman Abidin.

"Bagaimanapun, semuanya masih terkawal dan kami sempat membuat persiapan," katanya ketika menerima kunjungan Wan Azizah bersama Azman di Taman Cheng Jaya di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Keluarga Navaseellan menyampaikan bunga sebagai buah tangan kepada Wan Azizah yang sudi berkunjung ke rumah bagi memeriahkan perayaan Deepavali.
Keluarga Navaseellan menyampaikan bunga sebagai buah tangan kepada Wan Azizah yang sudi berkunjung ke rumah bagi memeriahkan perayaan Deepavali.

Lebih menyentuh perasaan katanya, kunjungan Wan Azizah yang mesra dengan panggilan ‘Kak Wan’ ke rumah ibu bapanya itu membawa makna tersendiri kerana mendiang ibunya merupakan peminat tegar tokoh politik berkenaan.

Katanya, pada asalnya majlis kunjungan itu dirancang berlangsung di rumahnya, namun mengambil keputusan menukarnya ke rumah ibu bapanya bagi membolehkan suasana lebih dekat dengan penduduk setempat.

"Mak saya memang peminat tegar Kak Wan. Kalau beliau masih ada dan dapat melihat Kak Wan datang ke rumah ini, tentu dia sangat gembira.

"Setiap kali Kak Wan muncul di kaca televisyen atau mendengar namanya disebut, mak saya akan berhenti melakukan apa sahaja dan terus duduk di hadapan televisyen.

"Mak sangat menghormati Kak Wan kerana kekuatan dan ketabahannya mengharungi kehidupan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam penjara dahulu," katanya.

Kemeriahan di rumah keluarga Navaseellan menyambut perayaan Deepavali.
Kemeriahan di rumah keluarga Navaseellan menyambut perayaan Deepavali.

Navaseellan berkata, ibunya meninggal dunia dua tahun lalu dan kunjungan itu menjadi lebih bermakna kerana sepanjang 10 tahun berada dalam parti, itulah kali pertama Wan Azizah berkunjung ke kediaman keluarganya.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, kunjungan berkenaan turut menjadi kesempatan untuk menyampaikan sokongan kepada Azman yang sudah lama terlibat dalam perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, Azman merupakan individu yang setia dan konsisten dalam perjuangan parti meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Beliau turut berharap penduduk Paya Rumput memberikan sokongan kepada calon PH itu pada hari pengundian 14 November ini.

"Kita mahu menyampaikan bahawa kalau boleh, berilah pertolongan khususnya kepada pengundi di Paya Rumput.

"Kita mahu teruskan usaha meningkatkan taraf hidup penduduk dan memperbaiki perkara yang masih boleh ditambah baik," katanya.

Wan Azizah dan Azman (kanan) berkunjung ke rumah keluarga Navaseellan sempena Deepavali pada Ahad.
Wan Azizah dan Azman (kanan) berkunjung ke rumah keluarga Navaseellan sempena Deepavali pada Ahad.

Dalam pada itu, Azman berkata, beliau bersyukur dengan maklum balas positif diterima sepanjang seminggu berkempen, namun berharap sokongan berkenaan diterjemahkan melalui undi pada hari pengundian.

Katanya, kira-kira 30 peratus pengundi di Paya Rumput terdiri daripada golongan muda dan keperluan kumpulan itu antara perkara yang diberi perhatian dalam pendekatannya sepanjang kempen.

"Alhamdulillah, setakat ini penerimaan baik. Cuma kita harap penerimaan itu diterjemahkan dalam peti undi.

"Saya juga melihat keperluan pengundi muda perlu diambil kira dan isu berkaitan mereka antara perkara yang perlu saya tangani sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat di sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!