'Lautan biru' di Stadium Sultan Ibrahim

BOS sentiasa memberikan sokongan padu setiap kali JDT beraksi. - Foto Boys Of Straits
BOS sentiasa memberikan sokongan padu setiap kali JDT beraksi. - Foto Boys Of Straits
A
A
A

KELAB penyokong Boys of Straits (BOS) mahu memastikan ‘lautan biru’ mewarnai segenap ruang di Stadium Sultan Ibrahim sempena aksi final Piala FA 2023 yang menemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Sabtu ini.

Menurut jurucakap BOS, Farween Johar, 35, usaha mewujudkan ‘gelombang biru’ itu secara keseluruhannya bertujuan mewujudkan sedikit kelainan pada aksi final berkenaan terutamaya melibatkan penyokong-penyokong skuad Harimau Selatan itu.

“Untuk final kali ni kami cuba lari daripada warna hitam yang selalu kami pakai... kami nak ‘birukan' SSI (Stadium Sultan Ibrahim), Sabtu ni. Biar ada ‘lautan biru’.

Farween
Farween

“Lagipun bagi kami, final kali ni memang satu sejarah kerana buat kali pertama SSI dipilih sebelum ni semua final mesti kat Bukit Jalil (Stadium Nasional).

“Insya-ALLAH, kita akan sama-sama tengok ‘gelombang biru’ di SSI sebab untuk BOS sahaja ada 3,500 dan kalau kira penyokong lain, rasanya tak lari dalam 20,000,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Mengulas mengenai lebihan tiket penyokong JDT berbanding KL City FC bagi aksi final nanti Farween berkata, ia mungkin disebabkan beberapa faktor.

Bagaimanapun katanya, difahamkan kuota tiket bagi KL City FC masih ada dan penyokong-penyokong skuad The City Boys itu masih boleh mendapatkannya bagi menyaksikan aksi final berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya ramalannya terhadap keputusan perlawanan, Farween menjangkakan skuad Harimau Selatan itu menang 3-0 pada aksi final berkenaan.

Katanya, ramalan itu dibuat berdasarkan kepada prestasi semasa pasukan ketika ini.


BOS teruja SSI dipilih selaku venue final Piala FA 2023. - Foto Fb Boys Of Straits
BOS teruja SSI dipilih selaku venue final Piala FA 2023. - Foto Fb Boys Of Straits

“Tapi kena ingat juga, Bojan Hodak (jurulatih KL City FC), sudah 'masak' sangat dengan JDT ni kerana pernah jadi coach JDT sebelum ni.

"Kami juga tak mahu final ni sampai ke sepakan penalti... Kami mahu semuanya selesai dalam tempoh 90 minit, ” katanya.