X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Kerajaan peruntuk RM200 juta tangani impak banjir

Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta sebagai usaha menangani impak banjir dan pengaktifan rangkaian bencana Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan menyegerakan penyaluran RM50 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)/Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) untuk memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.

Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kadar Bantuan Wang Ihsan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir disebabkan Monsun Timur Laut atau terkesan daripada apa-apa bencana lain yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

“Sehubungan dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, peruntukan dan langkah-langkah sedia ada dan segera telah diambil oleh kerajaan untuk menangani impak bencana banjir.

“Ini termasuk peruntukan awal RM100 juta bagi persediaan usaha pemulihan pascabanjir,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha membaiki rumah-rumah dan infrastruktur awam yang rosak akibat banjir.

Tengku Zafrul berkata, sebagai usaha permulaan, jumlah keseluruhan sebanyak RM50 juta akan disediakan oleh kerajaan serta GLIC dan GLC.

“Jumlah ini merangkumi geran padanan berjumlah RM25 juta daripada kerajaan manakala GLIC dan GLC akan bersama-sama memperuntukkan RM25 juta.

“Jumlah RM50 juta ini akan diaktifkan melalui GLC/GLIC Disaster Recovery Network (GDRN) bagi membantu mangsa bencana banjir. Sehubungan itu, sejak 17 Dis lepas, GDRN telah mula memantau keadaan banjir di seluruh negara,” katanya.

Katanya, GLIC dan GLC yang merupakan sebahagian daripada GDRN telah mula turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Ini termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah menyediakan pusat pembelajaran KWSP yang mempunyai 152 bilik sebagai pusat penempatan sementara bagi mangsa banjir.

“Telekom Malaysia (TM) yang telah mengaktifkan pusat arahan krisis di seluruh negara dan Pasukan PAKAR semboyan TM kini bersedia untuk memberikan bantuan komunikasi dan perkhidmatan kecemasan yang melibatkan talian Internet dan telefon di seluruh negara,” katanya.

Katanya, Pharmaniaga dan MASKargo sedang giat menghantar bantuan ke pusat-pusat penempatan semula bagi mangsa-mangsa banjir manakala Yayasan Sime Darby sedang menghulur bantuan kepada pekerja dan komuniti yang tinggal di perladangan di bawah Sime Darby Plantations.

“Pharmaniaga, Malaysia Aviation Group dan GLC juga sedang membantu pekerja mereka dan komuniti setempat yang terjejas,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan dan MOF khususnya akan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu mangsa banjir secepat mungkin. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!