UMT jalani analisis uji ketulenan muntah ikan paus

Antara sampel ambergris yang sedia ada di Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT.
Antara sampel ambergris yang sedia ada di Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Sampel muntah ikan paus atau ambergris yang ditemukan seorang wanita di Marang akhir November lalu telah diserahkan ke Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk proses analisis.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Profesor Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, sampel seberat empat gram itu diserahkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu ke makmal berkenaan pada malam Khamis.

Beliau berkata, keputusan proses analisis dijangka memakan masa selama seminggu.

"Sekiranya objek yang didakwa ambergris ini benar-benar tulen, nilainya bergantung kepada kandungan bahan aktif iaitu ambrien yang ada di dalamnya.

"Kita tidak nafikan ia mempunyai nilai yang tinggi di pasaran dengan anggaran tidak kurang RM100,000 bagi setiap satu kilogram," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 sampel didakwa muntah ikan paus tidak tulen

Perlu kajian terperinci sahkan ketulenan muntah paus

Hanya 1.5 hingga 2 gram untuk uji ketulenan 'emas terapung'

Artikel Berkaitan:

Menurut Hasrizal, beliau juga teruja untuk menguji ketulenan objek berkenaan yang didakwa sebagai muntah ikan paus.

"Ramai yang telah menghubungi saya untuk tahu sama ada ia tulen atau tidak. Satu Malaysia menanti untuk tahu keputusan analisis.

"Insya-ALLAH dalam tempoh seminggu kita akan dapat keputusan. Saya juga teruja untuk menguji ketulenan sampel ambergris atau lebih popular dengan jolokan emas terapung itu," katanya.

Jelas Hasrizal, pihaknya akan mengambil sampel berkenaan dalam kuantiti yang perlu dan akan mengembalikan semula lebihan sampel tersebut kepada Jabatan Perikanan.

"Proses pengujian sampel ini merupakan sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UMT dan Jabatan Perikanan membabtkan Pegawai Penyelidik Perikanan yang turut menjalankan analisa ketulenan sampel tersebut," katanya.

Pada Rabu, Ketua Pejabat Perikanan Daerah Kemaman serta beberapa pegawai daripada Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Dungun telah mengambil sampel berkenaan bagi proses kajian.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kajian terperinci perlu dibuat bagi mengesahkan ketulenan objek seberat lima kilogram didakwa muntah paus yang ditemui peniaga wanita tersebut.

Katanya, ia bagi mengenal pasti sama ada ia benar-benar muntah ikan paus atau gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.