X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Perlu kajian terperinci sahkan ketulenan muntah paus

Aida Zurina menunjukkan objek seberat lima kilogram dipercayai muntah paus yang ditemuinya ketika memancing berhampiran Jeti LKIM Marang baru-baru ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu sedang membuat kajian terperinci bagi mengesahkan ketulenan objek yang didakwa muntah paus ditemui seorang pemancing wanita di Marang pada beberapa hari lalu.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, siasatan dan kajian terperinci perlu dibuat bagi mengesahkan objek seberat lima kilogram itu sama ada benar-benar muntah ikan paus atau gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.

"Hari ini (Rabu), Ketua Pejabat Perikanan Daerah Kemaman dan beberapa pegawai daripada Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Dungun sudah mengambil tindakan awal bagi melakukan kajian terperinci.

"Di peringkat awal ini, kita mengambil sedikit keterangan daripada individu yang menemui objek tersebut selain akan mengambil sampel objek berkenaan.

"Bagaimanapun, proses penyelidikan dan kajian keseluruhan dijangka mengambil tempoh agak lama bagi menentukan keaslian dan kualiti yang didakwa muntah paus ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Ruzaidi turut mengingatkan orang ramai agar melaporkan kepada Pejabat Perikanan Negeri Terengganu sekiranya terjumpa objek menyerupai muntah paus.

Beliau berkata, ini kerana ia merupakan sebahagian bahan daripada spesies marin terancam yang dilindungi di bawah Peraturan-peraturan Spesies ikan Terancam 1999, Akta Perikanan 1985.

"Maklumat daripada orang ramai membantu Jabatan Perikanan Malaysia dalam menjadi sebahagian ejen penyebar maklumat yang tepat kepada masyarakat," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pemancing, Aida Zurina Long, 41, dari Kemasik, Kemaman menemui objek dipercayai muntah paus ketika memancing berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 sampel didakwa muntah ikan paus tidak tulen


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!