47 institusi tahfiz persendirian tiada pelan pemajuan

Mohamad Yusli (dua dari kanan) menerangkan sesuatu kepada pengusaha tahfiz persendirian pada Taklimat Pemutihan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama Persendirian di bawah pentadbiran MPKS di Dewan Bandar Baru, Kuala Selangor pada Rabu.
Mohamad Yusli (dua dari kanan) menerangkan sesuatu kepada pengusaha tahfiz persendirian pada Taklimat Pemutihan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama Persendirian di bawah pentadbiran MPKS di Dewan Bandar Baru, Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak 47 institusi tahfiz persendirian di daerah Kuala Selangor tidak mempunyai kelulusan pelan pemajuan daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, daripada jumlah itu hanya dua pusat tahfiz persendirian yang memiliki pelan pemajuan bagi mendapat kelulusan beroperasi.

"Dua tahfiz persendirian yang mendapat pelan pemajuan itu ialah sebuah di Jeram dan di Puncak Alam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Taklimat Pemutihan Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama Persendirian di bawah pentadbiran MPKS di Dewan Bandar Baru, Kuala Selangor di sini pada Rabu.

Mohamad Yusli berkata, pihaknya berharap pengurusan pusat tahfiz persendirian yang masih belum mempunyai pelan pemajuan supaya menghantar permohonan untuk disenaraikan dalam inventori MPKS.

"Kita mohon kerjasama daripada pihak pengusaha tahfiz agar dapat mengemukakan permohonan pelan pemajuan melalui perunding yang dilantik kepada MPKS untuk pertimbangan kelulusan," katanya.

Mohamad Yusli berkata, pengusaha tahfiz juga boleh mendapatkan khidmat nasihat perunding perancang bandar bertauliah daripada Malaysian Institut of Planner (MIP) dan urusan-urusan teknikal lain yang berkaitan.

Jelas beliau, kelulusan pelan pemajuan amat penting bagi mengelak berlaku insiden tidak diingini seperti tragedi kebakaran di sebuah pusat tahfiz yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Tragedi itu berlaku disebabkan faktor keselamatan dan ciri bangunan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan oleh PBT," katanya.

Menurut Mohamad Yusli, program pemutihan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pengusaha institusi tahfiz melalui taklimat yang diberikan serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Katanya, program pemutihan itu juga dapat membantu Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) bagi memastikan semua sekolah agama sedia ada yang berdaftar mempunyai kelulusan PBT.

Jelas beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Perancangan Antara Pihak Berkuasa Perancang Tempatan Negeri Selangor pada 17 Jun 2019 telah membuat ketetapan dan mengambil inisiatif bersama JAIS dan MIP untuk menyediakan garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian negeri Selangor 2020.

"Tujuan garis panduan ini disediakan adalah bagi membantu kerajaan Selangor dan PBT menyelesaikan isu sekolah agama berdaftar di negeri ini supaya mendapat kelulusan daripada PBT," jelasnya.